Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bakal wujudkan pangkalan data DNA gergasi

    NANJING, 31 Okt – Satu platform penjujukan asid deoksiribonukleik (DNA) bersaiz super akan dibina di Nanjing, ibu negeri Wilayah Jiangsu yang terletak di timur China, untuk mewujudkan satu pangkalan data maklumat genetik bagi etnik Cina, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa kesihatan wilayah.

    Projek DNA itu sebahagian dari Pusat Data Besar Perubatan dan Kesihatan Nasional (Nanjing) bernilai enam bilion yuan (kira-kira AS$903.7 juta) yang sedang dibina di Kawasan Baru Jiangbei, kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga Wilayah, Lan Qing.

    Semasa fasa pertama, maklumat perubatan dan kesihatan kira-kira 80 juta orang, bersamaan populasi Jiangsu, akan disimpan di pusat itu, kata Lan.

    “Apabila fasilitet itu siap, kapasiti yang direka untuk penjujukan DNA adalah sehingga 400,000 ke 500,000 sampel setahun,” katanya.

    Projek penjujukan DNA akan dilaksanakan bersama syarikat milik negara, Kumpulan Yangzi, Universiti Tenggara dan Universiti Perubatan Nanjing.

    Para penyelidik akan menggunakan data besar yang dicipta dalam pangkalan itu untuk mengkaji mutasi genetik berkaitan penyakit utama, melihat impak interaksi antara gen dan perkara yang melibatkan persekitaran terhadap kesihatan manusia serta menyediakan sokongan statistik bagi diagnosis dan rawatan penyakit utama, kata Lan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda