BEIJING, 25 NOV – Ahli sains ketenteraan China telah membangunkan bahan penyelinapan baharu yang boleh digunakan pada pesawat dan peralatan pertahanan lain untuk mengurangkan kebolehlihatan radar antiselinap, lapor Sputnik.
Akhbar South China Morning Post hari ini melaporkan bahan baharu itu, yang diperkenalkan oleh Universiti Teknologi Pertahanan Kebangsaan, mampu menukar gelombang elektromagnet dengan panjang gelombang antara 0.7 hingga 0.18 meter menjadi haba. Teknologi itu berkesan meliputi jalur P dan L yang merupakan jalur operasi kebanyakan radar antiselinap masa kini.
Menurut laporan itu, bahan itu ringan, fleksibel dan mudah dihasilkan secara besar-besaran, menjadikannya sesuai untuk menyaluti pesawat atau platform senjata lain yang memerlukan ciri penyelinapan.
Ahli sains turut menyatakan bahan tersebut menjimatkan kos dan boleh digunakan pada pelbagai jenis peralatan ketenteraan. – Bernama