Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    China gesa Israel henti operasi ketenteraan di Rafah ‘secepat mungkin’

    BEIJING, 13 FEB – China menggesa Israel pada hari ini untuk menghentikan operasi ketenteraannya di bandar Gaza, Rafah ‘secepat mungkin’, memberi amaran ‘bencana kemanusiaan yang serius’ di sana jika pertempuran tidak berhenti.

    “China mengikuti dengan teliti perkembangan di kawasan Rafah, menentang dan mengecam tindakan yang merugikan orang awam dan melanggar undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap kementerian luar dalam satu kenyataan.

    Beijing menggesa Israel untuk “menghentikan operasi ketenteraannya secepat mungkin, (dan) melakukan segala usaha untuk mengelakkan korban awam yang tidak bersalah, untuk mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih serius di kawasan Rafah.”

    Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk bersetuju dengan gencatan senjata dengan Hamas ketika ia bersiap sedia untuk pencerobohan ke Rafah, bandar sempadan selatan Gaza di mana lebih sejuta penduduk Palestin yang terlantar terperangkap.

    Israel melakukan serbuan sebelum subuh di Rafah, kelmarin, yang membebaskan dua tebusan dan membunuh kira-kira 100 orang, selepas menolak syarat Hamas untuk gencatan senjata minggu lalu.

    Perdana Menteri Zionis Israel, Benjamin Netanyahu memuji operasi semalaman itu sebagai ‘sempurna’, manakala kementerian luar Palestin berkata kematian ratusan penduduk Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.

    Misi menyelamat yang jarang berlaku di bawah serangan udara berat berlaku beberapa jam selepas Netanyahu bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang mengulangi bantahannya terhadap serangan besar ke atas Rafah.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah memberi amaran kepada Israel agar tidak melakukan serangan darat ke Rafah tanpa rancangan untuk melindungi orang awam, yang mengatakan mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi. – AFP

    Anggota keluarga Palestin menaiki trak dengan barang-barang semasa mereka melarikan diri dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza melalui jalan pantai ke utara menuju ke tengah Semenanjung Gaza pada 12 Februari 2024 di tengah-tengah konflik yang berterusan di sana antara rejim Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...