Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    China perlu atasi cabaran pembangunan AI

    BEIJING, 27 APRIL – Presiden China, Xi Jinping menegaskan bahawa negaranya perlu ‘mengatasi’ cabaran dalam pembangunan teknologi teras kecerdasan buatan (AI) termasuk semikonduktor berprestasi tinggi, lapor media rasmi negara itu kelmarin.

    China menyasarkan untuk menjadi peneraju dunia dalam sektor AI yang berkembang pesat, namun berdepan kekangan berikutan ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang berpotensi menjejaskan akses kepada teknologi penting.

    Kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu dibelenggu dalam perang perdagangan yang semakin memuncak, bermula dengan tindakan Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif baharu sehingga 145 peratus ke atas barangan dari China. Beijing membalas dengan tarif 125 peratus terhadap barangan AS.

    Dalam mesyuarat suku tahunan Politburo, memetik dari agensi berita Xinhua, Xi berkata, “Kita mesti terus memperkukuh penyelidikan asas, menumpukan usaha mengatasi cabaran dalam teknologi utama seperti semikonduktor termaju dan perisian teras, serta membangunkan sistem AI autonomi.”

    Sejak pelancaran ChatGPT pada November 2022, model AI generatif telah berkembang pesat di AS dan China.

    DeepSeek, firma pemula China turut mencuri tumpuan dunia apabila memperkenalkan chatbot R1 pada Januari lalu yang setanding pesaing AS tetapi pada harga lebih rendah.

    Bagaimanapun, Xi mengakui bahawa industri AI China masih mempunyai ‘jurang’ dan menegaskan kepentingan ‘tidak bergantung pada orang lain’ dalam bidang tersebut.

    Beliau turut menekankan kepentingan sokongan dasar melalui pelbagai kombinasi termasuk hak harta intelek, percukaian, perolehan awam serta pembukaan infrastruktur untuk mempercepatkan kemajuan AI negara.

    Di bawah pentadbiran Trump dan bekas Presiden Joe Biden, Washington telah mengharamkan atau menyekat eksport pempro-sesan canggih ke China, yang merupakan komponen penting dalam pembangunan model AI berkeupayaan tinggi. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda