Sunday, October 27, 2024
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    City ungguli Liga Perdana Inggeris

    LONDON, 27 OKT – Erling Haaland membawa Manchester City ke puncak Liga Perdana Inggeris apabila penyerang itu menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Southampton, manakala Aston Villa di tempat ketiga kecewa apabila Bournemouth menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir, kelmarin.

    Haaland mengharungi tiga perlawanan liga tanpa jaringan, akhirnya menamatkan kemarau jaringannya pada separuh masa pertama di Stadium Etihad.

    Kemenangan tersebut meletakkan pasukan kendalian Pep Guardiola ke tangga pertama dengan dua mata di hadapan Liverpool di tempat kedua, Namun, Liverpool berpeluang kembali ke puncak liga jika mereka berjaya memenangi pertembungan penting menentang pesaing kejuaraan, Arsenal hari ini.

    City tidak tewas dalam perlawanan liga di Etihad selama dua tahun, mencatat rekod 35 perlawanan tanpa kalah, dan pasukan tercorot liga, Southampton, yang hanya mempunyai satu mata daripada sembilan perlawanan musim ini, tidak dijangka mampu mematahkan rentak cemerlang itu.

    Dengan Jack Grealish dan Jeremy Doku diketepikan, Guardiola melakukan empat pertukaran kepada pasukan yang membelasah Sparta Prague dalam Liga Juara-Juara baru-baru ini.

    Haaland menjaringkan gol menarik menentang Sparta dan walaupun jaringannya menewaskan Southampton kali ini kurang menonjol, gol tersebut ternyata sangat berharga dalam konteks persaingan sengit perebutan gelaran liga.

    Umpan silang Matheus Nunes sampai ke Haaland pada minit kelima dan pemain Norway itu menunjukkan kekuatan dan keinginan untuk mendapatkan bola mengatasi penandanya untuk satu rembatan jarak dekat.

    City mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi gol ke-14 Haaland dalam semua pertandingan musim ini memberikan juara tanpa kalah itu tujuh kemenangan daripada sembilan perlawanan liga ketika mereka memburu gelaran kelima berturut-turut.  – AFP

    Aksi Haaland selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad di Manchester, England pada 26 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda