Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Cityfarm, projek luar kotak untuk disiplinkan murid

    KUALA LUMPUR – Pendekatan di luar kotak Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Ayer Panas di Kuala Lumpur memperkenalkan program kebun di dalam bandar, dikenali sebagai Cityfarm, untuk mendisiplinkan pelajar, memberikan pulangan berkali ganda kepada institusi itu.

    Bukan sahaja ia menyaksikan isu disiplin murid, terutama dari segi kedatangan lewat, diatasi hampir sepenuhnya, program itu turut menjadi pengenalan sekolah yang kini dirujuk oleh pelbagai institusi, susulan kejayaannya melaksanakan tanaman rock melon atau tembikai wangi secara fertigasi.    

    “Cityfarm bagaikan serampang dua mata sekolah atau sambil menyelam minum air. Ia mendidik pelajar tentang disiplin dan juga pertanian. Malah, ada murid yang mula bercucuk tanam di rumah. Program ini juga berjaya menarik minat ibu bapa dan komuniti setempat untuk terlibat sama.

    “Selain itu, ia juga menjana pendapatan sekolah daripada jualan hasil tanaman dan  menjadi perundingan tentang kaedah penanaman secara  fertigasi yang kami kenakan pada mana-mana organisasi yang mendapatkan bimbingan kami,” kongsi Ibrahim Ismail, guru yang bertanggungjawab memulakan inisiatif  Cityfarm itu kepada Bernama.

    Terletak hanya kira-kira 10 kilometer dari Menara Kembar Petronas, SK Jalan Ayer Panas di Setapak,  menampung keperluan pendidikan rendah kanak-kanak B40 yang mendiami beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berkenaan.  

    Ibrahim Ismail berkebun di Cityfarm, SK Jalan Ayer Panas yang mempunyai lebih kurang 350 pokok ditanam secara fetigasi. – Bernama
    Antara hasil tembikai wangi yang ditanam di kebun sekolah tersebut. – Bernama

    Menurut Guru Besar, Rozalina Razali, pada masa ini terdapat kira-kira 700 murid di sekolah itu dengan kebanyakannya adalah daripada keluarga B40.

    “Dari segi pencapaian akademik, kami mungkin tidak dapat menandingi sekolah lain di ibu negara ini. Namun kami bangga, kerana kini apabila disebut SK Jalan Ayer Panas, orang akan teringat kebun.

    “Dari segi menangani masalah kedatangan lewat pula, bagi kami, jika seseorang murid itu tiba di sekolah pada 7:28 pagi (sesi pembelajaran bermula 7:30 pagi), kami anggap ‘hukuman berbentuk pengajaran’ yang dikenakan itu sudah berjaya mendisiplinkan murid tersebut,” ujar Rozalina.
     
    Bermula dengan timun

    Bercerita tentang idea berkebun sebagai ‘hukuman berbentuk pengajaran’ kepada murid yang datang lewat ke sekolah, Ibrahim berkata selaku guru disiplin ketika itu, beliau buntu memikirkan cara terbaik untuk mengubah situasi berkenaan. 

    “Ketika dipindahkan ke sekolah ini dari Sabah pada 2015, saya agak terkesima dengan isu disiplin, terutama dari segi kehadiran lewat. Jenuh saya memikirkan cara terbaik untuk mendisiplinkan murid, kerana saya tidak mahu ia sekadar bersifat hukuman tetapi turut boleh menaikkan semangat mereka ke sekolah.

    “Di situlah timbulnya idea untuk ‘memberi hukuman berbentuk pengajaran‘ kepada  pelajar dengan berkebun, dan alhamdulillah, cadangan saya mendapat sokongan penuh daripada guru besar dan pihak sekolah,” katanya.

    Dilaksanakan pada 2016, pada peringkat awal program itu dikenali sebagai “Don’t Be Late” atau ringkasnya “Donbel”, iaitu murid yang datang lewat akan ‘dihukum’ ke kebun sebelum sesi pembelajaran bermula.

    “Dengan cara ini kita tidak mengganggu sesi pembelajaran mereka. Pada mulanya memang mereka tidak suka dengan kegiatan itu, tetapi lama-kelamaan, apabila tanaman yang mereka jaga mula mengeluarkan hasil, mereka jadi seronok,” kata Ibrahim yang telah 26 tahun berkhidmat sebagai pendidik.

    Menurut guru Bahasa Malaysia itu, mereka memulakan projek tersebut de-ngan tanaman timun secara fertigasi sebanyak 75 polibeg.

    “Pada masa itu, hasrat kami hanya untuk mendisiplinkan murid. Namun, saya berasakan ada baiknya bertukar kepada tanaman yang boleh menjana pendapatan sekolah. Selepas membuat penelitian, saya dapati tembikai wa-ngi mampu memberikan pulangan yang memuaskan,” ceritanya lagi.
     
    Pakar fertigasi tembikai wangi

    Menurut Ibrahim, mereka kemudian mendapatkan khidmat nasihat daripada KMK Agro Global Sdn Bhd,  Jabatan Pertanian Putrajaya serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bagi memulakan penanaman tembikai wangi secara fertigasi dengan dana yang disumbangkan oleh Edana Delight Bakery.  

    “Kami mula menanam tembikai wangi pada penghujung  2019 sebanyak 200 pokok. Kini, kami mempunyai lebih kurang 350 pokok yang ditanam secara fertigasi di atas kawasan seluas 30 x 80 kaki persegi,” katanya. 

    Sambutan yang diterima amat menggalakkan hinggakan hasil yang dituai tidak dapat menampung permintaan.

    “Dari segi pasaran memang kita tidak mempunyai masalah, kerana selain dibeli oleh komuniti setempat dan guru sendiri, Cityfarm menjalinkan  kerjasama dengan rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd dan beberapa buah restoran di sekitar kawasan kejiranan,” jelasnya.

    Beliau berkata  penanaman tembikai wangi diselang-seli dengan tanaman lain seperti  timun, peria dan kacang panjang, bergantung pada keadaan.

    “Buah  tembikai wangi biasanya dapat dipetik selepas 75 hari anak pokok dipindahkan ke dalam polibeg, bergantung pada jenis tembikai wangi yang ditanam.  Setiap kali tuaian, kami mampu mengutip sekitar 600 kilogram, ” ujarnya tanpa mendedahkan nilai jualan yang diperoleh.

    “Memadai kalau saya katakan, walaupun kami jual pada harga lebih murah berbanding pasaran biasa, kami masih mampu memperoleh keuntungan yang mana kami akan masukkan ke dalam tabung untuk kegunaan sekolah dan juga murid,” kata Ibrahim sambil menunjukkan anak pokok yang dijangka mengeluarkan hasil pada April depan.

    Kejayaan SK Jalan Ayer Panas dalam penanaman secara  fertigasi mendapat perhatian pelbagai organisasi dan institusi yang mahu menjalankan projek serupa termasuk beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang.

    Setakat ini ia membimbing antaranya SK Setiawangsa, Sk Seri Bonus, SK Kampung Batu dan Sekolah Menengah Telok Panglima Garang, selain PPR Gombak, Pusat Wanita Berdaya Ampang dan Akademi Bomba Malaysia.

    “Sekarang kami memberikan khidmat perundingan kepada Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia kampus Gombak untuk menjalankan projek tembikai wangi secara fertigasi,” katanya.

    Turut membanggakan, projek Cityfarm SK Jalan Ayer Panas diiktiraf oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai Kebun Kejiranan Bandar di bawah Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL).   

    Selain itu, mereka juga menerima lawatan beberapa pihak berkuasa tempatan, antaranya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor  yang ingin melihat sendiri kejayaan projek fertigasi tersebut.

    “Malah, kami baru saja menerima kunjungan beberapa penyelidik daripada MARDI,” tambah beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...