BERLIN – Apabila Ali Fakhro menyusun deretan coklat bar berinti pistasio di kedainya di Berlin pada waktu pagi, beliau tahu semuanya akan habis dalam beberapa jam sahaja.
Terinspirasi oleh kejayaan hidangan tular rangup yang dikenali sebagai ‘coklat Dubai’, Fakhro, 32, mencari resipi dan mula membuat versi sendiri dua bulan lalu.
“Pada hari pertama, saya buat 20 bar, tetapi semuanya habis dengan cepat. Keesokan hari-nya, saya buat 50 bar — juga habis,” katanya.
Coklat Dubai yang dikenali ini dicipta pada tahun 2021 oleh usahawan British-Mesir, Sarah Hamouda, yang berpangkalan di Dubai.
Hidangan ini merupakan coklat bar yang tebal, dihias secara manual dengan pelbagai inti unik – perisa tanda khasnya ialah inti padat pistasio.
Hidangan ini menjadi tular apabila pempengaruh makanan TikTok, Maria Vehera, memuat naik video dirinya menikmati bar tersebut dalam keretanya, yang kini telah ditonton lebih daripada 100 juta kali.
Versi asli hanya tersedia untuk pelanggan tempatan dalam kuantiti terhad, tetapi trend ini telah membawa kepada letupan versi tiruan coklat tersebut di seluruh dunia.
Fakhro, yang mengendalikan Abu Khaled Sweets di Berlin, telah mencuba ‘beberapa kali’ dengan resipi yang berbeza sebelum akhirnya menemui ramuan yang tepat untuk memberikan krim pistasio tekstur rangupnya yang terkenal – pastri halus Timur Tengah yang dikenali sebagai kataifi.
Penduduk Jerman berebut-rebut mendapatkan coklat tersebut dengan harga satu bar mencecah lebih AS$104 di internet.
Minggu lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun ditangkap oleh kastam kerana cuba menyeludup 45 kilogram coklat tersebut ke Jerman dari Switzerland.
Apabila pengeluar Swiss, Lindt, melancarkan versi mereka sendiri bagi coklat Dubai di Jerman bulan ini, pelanggan sanggup beratur berjam-jam dalam kesejukan untuk mendapatkan coklat tersebut.
Dengan harga sehingga 20 euro setiap bar, coklat ini jauh lebih mahal daripada coklat biasa — tetapi ia tidak menghalang orang ramai.
“Saya menunggu selama 10 jam. Saya berada di sini sejak tengah malam hanya untuk merasai coklat ini,” kata Leon Faehnle, seorang pelajar berusia 18 tahun, kepada AFP di luar kedai Lindt di Stuttgart.
Lindt melancarkan coklat ini di Jerman dengan 1,000 bar bernombor di 10 kedai, kata seorang jurucakap kumpulan itu kepada AFP, dan merancang pelancaran serupa di Austria pada 30 November.
Coklat Dubai juga mendapat sambutan di Perancis, dengan versi oleh pembuat coklat Jeremy Bockel dipamerkan di Salon du Chocolat di Paris awal bulan ini.
Yannick Burkhard, 21, beratur selama tiga jam di Stuttgart untuk mendapatkan coklat tersebut – tetapi tidak bercadang untuk memakannya. Sebaliknya, beliau akan menjualnya di internet.
“Saya tidak akan membayar sebanyak itu untuk ini. Ia wang cepat dan mudah,” katanya sambil tersenyum.
“Bar ini berharga 15 euro, tetapi boleh dijual hampir 100 euro… Terdapat banyak tawaran di eBay, sehingga 300 euro,” kata seorang pelanggan yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Lucas, 24.
Faehnle mempunyai rancangan yang lebih murni untuk bar coklatnya ketika dia keluar dari kedai di Stuttgart dengan senyuman bangga kerana berjaya membelinya. “Sekarang saya akan pulang dan berkongsi dengan datuk dan nenek saya,” katanya. – AFP