Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    COP28: Makanan, pertanian diutamakan

    DUBAI, 1 DIS – Lebih 130 negara bersetuju untuk mengutamakan makanan dan pertanian dalam rancangan iklim negara mereka semasa COP28 di Dubai hari ini dalam satu langkah yang disambut baik oleh pemerhati meskipun terdapat kebimbangan mengenai sikap berdiam diri terhadap peranan bahan api fosil.

    Sistem makanan dianggarkan bertanggungjawab terhadap kira-kira satu pertiga daripada gas rumah hijau buatan manusia, namun semakin terancam oleh pemanasan global dan kehilangan biodiversiti.

    Sebanyak 134 negara yang menghasilkan 70 peratus makanan yang dimakan di seluruh dunia menandatangani deklarasi itu, menurut tuan rumah sidang kemuncak Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    “Tidak ada jalan untuk mencapai matlamat perjanjian iklim Paris dan mengekalkan 1.5 darjah Celsius dalam jangkauan yang tidak serta-merta menangani interaksi antara sistem makanan, pertanian dan iklim,” kata menteri perubahan iklim UAE, Mariam Almheiri.

    Deklarasi itu menyatakan negara-negara terbabit akan mengukuhkan usaha untuk mengintegrasikan sistem makanan ke dalam rancangan pengurangan pelepasan mereka.

    Antara yang hadir mengambil gambar semasa pertunjukan video sebagai sebahagian daripada Transformasi Sistem Makanan dalam Berdepan Perubahan Iklim menjelang sidang kemuncak COP28 di Ekspo Dubai pada 1 Disember. – AFP

    Negara-negara itu juga akan meneruskan usaha untuk menyokong petani dan pengeluar makanan lain yang rentan termasuk melalui peningkatan pembiayaan, lebih banyak infrastruktur dan membangunkan sistem amaran awal, tambahnya.

    Ia juga menekankan kepentingan memulihkan tanah, beralih daripada amalan pertanian yang mengeluarkan gas rumah hijau dan mengurangkan kehilangan makanan.

    Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China dan Brazil antara negara yang menandatangani deklarasi tersebut.

    Sekitar 134 negara berkenaan adalah rumah kepada 5.7 bilion orang dan mewakili lebih tiga perempat daripada semua pelepasan gas rumah hijau daripada sistem makanan global atau 25 peratus daripada jumlah pelepasan di seluruh dunia, menurut kenyataan COP28.

    Badan pemikir AS, Institut Sumber Dunia memuji pengumuman itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...