Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Corak dan didik anak-anak sebaiknya

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Kanak-kanak bukan saja merupakan aset yang sangat penting kepada pembangunan dan kemajuan negara tetapi mereka juga adalah amanah daripada Allah SWT yang perlu dijaga dengan baik dan penuh rasa kasih sayang.

    Di negara ini, kerajaan Baginda Sultan amat menitikberatkan kebajikan, perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak serta sikap pemedulian yang tinggi terhadap golongan kanak-kanak.

    Khatib menyentuh kepentingan golongan kanak-kanak itu dalam Khutbah Jumaat yang bertajuk, Masa Depan Lebih Baik untuk Setiap Anak-anak, sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia pada 20 November setiap tahun.

    Beliau menambah bahawa kanak-kanak adalah harapan negara untuk menjadi masyarakat yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan bakal mewarisi kepimpinan negara.

    Ke arah itu, usaha sepadu dalam memastikan kanak-kanak mendapatkan masa depan yang sewajarnya perlu ada.

    Sehubungan itu, pada awal usia kanak-kanak, mereka perlulah dicorakkan dan dididik untuk menjadi baik dan jika sebaliknya, maka rosak binasalah mereka, jelasnya.

    Untuk itu, mana-mana individu yang telah didapati bersalah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak akan diberi hukuman yang setimpal selaras dengan undang-undang di negara ini tanpa mengira siapa pun penjenayah itu, kata khatib.

    Beliau turut menyenaraikan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga, antaranya memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna terutama pendidikan agama supaya mereka menjadi insan yang berakhlak mulia.

    Ini kerana, jika jiwa anak-anak itu dididik dan disemai dengan ajaran agama Islam yang kuat, mereka akan menjadi orang yang beriman dan cinta kepada Allah SWT dan rasulNya, menjadi anak yang soleh, berbakti kepada agama, ibu bapa, masyarakat dan negara.

    Ibu bapa dan penjaga juga disarankan untuk tidak mengambil ringan dan mencuaikan serta melalaikan hak dan tanggungjawab terhadap kanak-kanak.

    Jika lalai dan kurang perhatian, dikhuatiri anak-anak akan terjebak dalam gejala negatif atau kegiatan tidak bermoral serta menyalahi ajaran Islam selain melanggar undang-undang negara, jelas khatib lagi.

    Selain itu, sebagai ibu bapa atau penjaga hendaklah sentiasa prihatin dan mengambil berat hal anak-anak sama ada daripada segi emosi, mental mahupun fizikal.

    Tanggungjawab ibu bapa ini boleh menjamin masa depan kanak-kanak dalam aspek pendidikan, pembangunan dan perancangan ke arah kehidupan yang teratur agar kanak-kanak dapat berkembang dengan baik dan mencapai potensi yang tertinggi, ujar khatib.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...