Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Musim hujan jejas sektor niaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) adalah 49.9 bagi Oktober 2022 di mana ia menunjukkan bahawa secara amnya, sektor swasta berpandangan sedikit pesimistik terhadap keadaan perniagaan bagi Oktober.

    Ini disebabkan jangkaan kelembapan aktiviti, tahap perbelanjaan dalam negara yang lebih rendah dengan pembukaan penuh sempadan serta musim hujan yang menjejaskan operasi beberapa sektor.

    Sementara itu, terdapat beberapa sektor yang berpendapat bahawa keadaan perniagaan dijangkakan akan bertambah baik dengan peningkatan aktiviti, jualan dan projek berbanding September 2022.

    Secara amnya, para peniaga berpandangan optimistik bagi November 2022 dengan indeks keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan di tahap 50.4 di mana ia didorong oleh jangkaan peningkatan jumlah projek dan aktiviti berbanding Oktober 2022.

    Dapatan itu adalah daripada BSI Negara Brunei Darussalam bagi Oktober 2022 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

    Beberapa sub-indeks BSI yang menyaksikan kenaikan dan penurunan.

    Indeks adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 600 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam di mana terdapat sembilan sub-indeks dalam BSI.

    Keterangan indeks adalah berdasarkan nilai BSI atas 50 menunjukkan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding bulan sebelumnya, nilai BSI 50 menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 menunjukkan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding bulan sebelumnya.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.3 bagi Oktober 2022, 50 untuk satu bulan di hadapan dan 50.2 bagi tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan secara amnya, para peniaga menjangka akan meningkatkan pelaburan mereka pada Oktober 2022 serta bagi tiga bulan seterusnya.

    Peningkatan itu adalah untuk menaik taraf sistem, membeli bahan-bahan bagi projek, peralatan dan mesin, pengubahsuaian dan pengembangan premis perniagaan, pembukaan cawangan baharu serta penambahan stok inventori.

    Manakala bagi November 2022, tahap pelaburan dijangkakan lebih kurang sama berbanding bulan sebelumnya.

    Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.3 bagi Oktober 2022 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan perniagaan secara amnya menjangka akan menambah jumlah pekerja pada Oktober dan November 2022 sesuai dengan pelan pengembangan perniagaan dan peningkatan projek.

    Sub-Indeks Kos adalah 50.3 bagi Oktober 2022 dan 50.4 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan bahawa para peniaga secara amnya menjangkakan kos menjalankan perniagaan akan meningkat pada Oktober dan November 2022.

    Ini disebabkan oleh faktor-faktor termasuk kenaikan harga mentah makanan dan peralatan, peningkatan kos pengangkutan, perbelanjaan bagi penyelenggaraan, perbelanjaan bagi projek dan gaji serta kos pengambilan pekerja, peningkatan aktiviti pemasaran dan pembelian tiket penerbangan bagi pekerja asing untuk kembali ke negara asal.

    Dari segi sektor ekonomi, empat daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik pada Oktober 2022.

    Sektor kewangan dan insurans menunjukkan kenaikan indeks yang tertinggi dengan jangkaan peningkatan prestasi menjelang hujung tahun.

    Sektor pembinaan juga menjangkakan prestasinya akan bertambah baik dengan peningkatan dalam jumlah projek. Walau bagaimanapun, enam sektor menunjukkan sentimen yang pesimistik bagi Oktober 2022 dengan jangkaan penurunan jumlah projek dan penjualan disebabkan oleh peningkatan aktiviti rentas sempadan dan musim hujan.

    Penurunan indeks yang paling besar telah dicatatkan oleh sektor pengangkutan dan komunikasi disebabkan kelembapan bermusim bagi sektor berkenaan.

    Sementara itu, sektor harta tanah dan pemilikan kediaman melaporkan sentimen terhadap keadaan perniagaan yang hampir sama pada Oktober 2022 berbanding bulan sebelumnya.

    Dari segi indeks mengikut saiz perniagaan, hanya perusahaan bersaiz sederhana sahaja yang berpandangan optimistik pada Oktober 2022 dengan keadaan perniagaan keseluruhan yang bertambah baik disebabkan oleh peningkatan jumlah projek dan permintaan secara amnya.

    Sementara itu, bagi perniagaan bersaiz kecil pula, para peniaga berpandangan pesimistik kerana kemerosotan secara am dan juga musim hujan.

    Manakala itu, perniagaan bersaiz mikro dan besar melaporkan sentimen keadaan perniagaan yang hampir sama pada Oktober 2022 berbanding bulan sebelumnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...