Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Lebih 2 juta diarahkan duduk di rumah

    YANGON, 2 JULAI – Pihak berkuasa Myanmar hari ini melaksanakan langkah-langkah duduk di rumah ke atas bandar kedua negara itu ketika kes koronavirus meningkat, dengan ramai petugas kesihatan mengadakan protes membantah junta di negara dibelenggu kudeta itu.

    Penduduk di Mandalay dan juga dua perbandaran di selatan kawasan Bago, dikenakan sekatan baharu, dengan larangan lebih daripada seorang keluar rumah atas alasan bukan perubatan.

    Tiada rangka masa diberikan bagi peraturan baharu yang diumumkan oleh kementerian kesihatan dan sukan Majlis Pentadbiran Negara – yang merupakan gelaran pusat pentadbiran bagi junta.

    Mereka yang keluar untuk kerja-kerja pentadbiran junta bagaimanapun dikecualikan. Kawasan terjejas merupakan kediaman bagi lebih 2 juta penduduk, menurut banci 2014, manakala bandar berhampiran di barat negeri Chin dekat dengan sempadan India, sudah pun dikenakan perintah berkurung sejak Mei.

    Pihak pentadbiran melaporkan lebih 1,500 kes baharu kelmarin, meningkat daripada sekitar 100 sehari dalam awal Jun manakala angka kematian berkaitan virus ialah 3,347 orang, meskipun angka itu kemungkinan lebih tinggi.

    Dalam pada itu, sistem penjagaan kesihatan Myanmar yang usang bergelut untuk menangani kes-kes COVID-19 malahan sebelum rampasan kuasa Februari yang menggulingkan Aung San Suu Kyi lagi.

    Sejumlah besar kawasan di negara itu diletakkan di bawah perintah berkurung separa tahun lalu, meskipun penguatkuasaannya sering kali lemah di negara membangun yang ramai penduduknya berhadapan pilihan sukar sama ada mematuhi peraturan atau memberi makanan keluarga mereka.

    Sejak kudeta, beribu-ribu doktor, sukarelawan dan kakitangan awam menyertai kempen keingkaran sivil besar-besaran untuk memprotes rejim tentera. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda