Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    CPRN SEAMEO bincang masa depan pendidikan serantau

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Sebanyak 32 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang tiga hari Sidang Kemuncak Rangkaian Penyelidikan Dasar pusat-pusat SEAMEO(CPRN) ke-7 2024 berlangsung bermula hari ini di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISSB).

    Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat majlis.

    Sidang kemuncak anjuran Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH itu mengumpulkan penggubal dasar, penyelidik, pendidik dan pihak berkepentingan dari pelbagai negara termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Bhutan, Jepun, Hong Kong dan Finland.

    Ini adalah untuk membincangkan topik penting dalam penyelidikan dasar di bawah tema Merangkul Keterangkuman dalam Pendidikan, Sains dan Budaya.

    Pengarah Pusat SEAMEO, Haji Norjemee bin Jenek dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, daripada 32 kertas kerja yang akan dibentangkan, 19 pembentangan mengenai penyelidikan daripada pelbagai pusat SEAMEO, 10 kertas kerja daripada institusi pendidikan tinggi dan tiga kertas kerja daripada agensi pembangunan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa berucap pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara hadirin yang mendengarkan perbincangan kertas kerja yang dibentangkan pada majlis itu. GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau turut melahirkan keyakinan di mana kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada sidang kemuncak itu akan membincangkan mengenai pendidikan, sains dan budaya daripada pelbagai perspektif di samping meneroka pelbagai trend dan cadangan dalam menerima keterangkuman dalam bidang berkenaan.

    Selain itu, beliau turut berbesar hati dengan kehadiran penceramah dan penyelidik terkenal dari seluruh ASEAN dan seterusnya berkongsi hasil penyelidikan dan idea mereka dalam sesi pleno, sesi selari dan pembentangan poster.

    Sidang Kemuncak CPRN mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta pusat SEAMEO.

    Antara penceramah utama pada sidang kemuncak itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk Inclusive Science for Regional Advancement.

    Seiring dengan kemajuan Asia Tenggara, Sidang Kemuncak CPRN menggariskan kepentingan akses saksama kepada pendidikan, sains dan budaya berkualiti, tanpa mengira latar belakang individu, jantina, etnik atau pertimbangan lain.

    Hasil daripada dialog dan kajian dasar rangkaian, sidang kemuncak itu akan menjangkakan hasil yang akan merangkumi pembangunan cadangan dasar, sokongan untuk usaha penyelidikan yang berterusan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...