Tuesday, May 14, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Cukai perlahan pengeluaran tenaga solar India

    BENGALURU, INDIA – Pada Mei tahun lepas, Fortum India, anak syarikat pemaju solar Finland, memenangi bidaan untuk projek tenaga solar di negeri Gujarat, India. Projek itu dijangka siap tiga bulan lalu dan akan menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk 200,000 rumah.

    Tetapi seperti banyak projek tenaga solar lain di negara itu, ia telah ditangguhkan kerana Fortum India bergelut untuk mendapatkan dan membayar komponen yang diperlukan.

    “Selama enam bulan lalu, kami tidak dapat menyelesaikan pembangunan mana-mana projek baharu,” kata Manoj Gupta, yang menyelia projek solar Fortum India di India.

    Gupta berkata panel solar dan sel telah menjadi sangat mahal kerana cukai perlindungan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan India pada April tahun lepas. Duti kastam asas mengenakan levi sebanyak 40 peratus ke atas modul solar diimport dan 25 peratus ke atas sel solar.

    Kerajaan berkata, ia mahu menggalakkan pembuatan domestik komponen yang diperlukan untuk menghasilkan tenaga solar dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import.

    Seorang pekerja memeriksa panel solar di Premier Energies Solar di pinggir Hyderabad, India. – AP
    Seorang pekerja mengemas sel di Premier Energies Solar di pinggir Hyderabad, India. – AP
    Seorang pekerja bekerja di Premier Energies Solar di pinggir Hyderabad, India. – AP
    Seorang pengendali memeriksa imej elektrik semasa menghasilkan panel solar di Premier Energies Solar di pinggir Hyderabad, India. – AP
    Pengendali mesin membersihkan panel solar di Premier Energies Solar di pinggir Hyderabad, India. – AP
    Seorang pekerja mengemas sel di Premier Energies Solar. – AP

    Tetapi pemaju solar berkata pengeluar tempatan, sementara berkembang pesat dan didorong oleh inisiatif dasar, masih sukar untuk memenuhi permintaan. Kapasiti pengeluaran sel dan modul semasa di India adalah sekitar 44 gigawatt setahun, hanya sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan untuk memenuhi matlamat tenaga boleh diperbaharui India.

    Pada 2022, India mempunyai sasaran untuk memasang 100 gigawatt tenaga suria sebagai sebahagian daripada matlamat untuk menambah 175 gigawatt elektrik bersih ke gridnya.

    Tetapi hanya 63 gigawatt kuasa suria akhirnya dipasang tahun lepas, menurut data kerajaan persekutuan India. India terlepas sasaran tenaga boleh diperbaharui 2022 dengan hanya sembilan gigawatt.

    “Tanpa duti ini, sekurang-kurangnya kami akan dengan mudah mencapai sasaran kami untuk projek solar yang lebih besar,” kata Jyoti Gulia dari firma penyelidikan dan penasihat tenaga boleh diperbaharui, JMK Research.

    Kebanyakan pemaju solar di India dan di seluruh dunia bergantung kepada China, dengan negara itu menghasilkan lebih daripada 80 peratus komponen solar dunia, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa. Banyak negara telah cuba menggalakkan pengeluaran domestik untuk mengehadkan kebergantungan kepada negara asing. Undang-undang iklim terbaharu Amerika Syarikat, sebagai contoh, turut memberi insentif kepada pembuatan tenaga boleh diperbaharui buatan sendiri.

    “China mengawal pasaran dan kami melihat semasa kedua-dua pandemik dan konflik geopolitik antara negara, bahawa mereka hanya menghentikan rantaian bekalan sepenuhnya,” kata Chiranjeev Saluja dari pengeluar solar India Premier Energies. “Saya fikir kerajaan mahu membangunkan keseluruhan ekosistem suria, itulah tujuan di sebalik dasar sedemikian,” jelasnya. Saluja menambah bahawa industri pembuatan solar yang sibuk juga mempunyai manfaat ekonomi yang lebih luas.

    “Pekerjaan dalam pembuatan adalah pekerjaan yang bergaji tinggi dan terjamin. Dan sementara pemaju menggunakan hanya segelintir orang, untuk mengeluarkan sel yang diperlukan untuk menghasilkan satu gigawatt tenaga suria, awda memerlukan sekurang-kurangnya 500 orang,” katanya.

    Laporan 2022 mendapati sektor tenaga boleh diperbaharui India boleh mengambil pekerja lebih daripada satu juta orang menjelang 2030, tetapi hanya jika pembuatan domestik terus meningkat dengan ketara.

    Satu lagi dasar kerajaan India yang memberi mandat bahawa komponen solar hanya boleh dibeli daripada pengeluar yang diluluskan kerajaan untuk memastikan modul dan sel berkualiti baik juga menghalang projek, menurut penganalisis.

    Pemaju tidak dapat membeli dari negara Asia Tenggara kerana pengeluar di sana masih belum diluluskan atau belum memohon. Kebanyakan negara itu mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan India yang akan menjadikan mereka dikecualikan daripada cukai import.

    “Keadaan agak suram hari ini,” kata Vinay Rustagi, pengarah urusan di perundingan tenaga boleh diperbaharui, syarikat Bridge to India. “Isu rantaian bekalan global, kekurangan bahan dan, sudah tentu, duti ke atas komponen solar telah menyebabkan banyak projek ditangguhkan,” tambahnya.

    Rustagi berkata pertumbuhan dalam pembuatan domestik akibat cukai adalah “menggalakkan, tetapi saya tidak fikir ia mampan.” Beliau menambah kerajaan harus menya-sarkan untuk mewujudkan keupayaan domestik yang kukuh yang boleh menjadi pilihan tanpa sebarang cukai atau duti.

    Pengeluar solar tidak bersetuju.

    “Kita telah membenarkan lambakan dari negara lain terlalu lama. Jika tidak, perkilangan domestik sudah pun berakar kuat,” kata Gyanesh Chaudhary, Naib Pengerusi Vikram Solar, pengeluar solar India.

    “Cukai dan dasar ini telah diumumkan lebih awal dan terdapat masa yang cukup untuk memasukkannya ke dalam kos,” kata Chaudhary. “Mandat seperti senarai pengeluar yang diluluskan adalah untuk memastikan kualiti produk yang masuk ke India adalah pada kualiti minimum tertentu,” jelasnya.

    Tetapi Srivatsan Iyer dari pemaju solar Hero Future Energies berkata ketidakpastian sektor itu menyebabkan sukar untuk mengambil kira kos tambahan. “Tanah, penyambungan ke tapak projek, isu rantaian bekalan hanyalah beberapa faktor dinamik dan, sudah tentu, pandemik,” kata Iyer mengenai landskap sukar untuk projek solar. “Dengan duti ini, kuasa bersih lebih mahal untuk India sekarang,” ujarnya.

    Iyer bimbang kos tambahan itu juga boleh menggagalkan sasaran tenaga boleh diperbaharui India yang seterusnya pada 2030 nanti.

    Tetapi dia berharap kerajaan mungkin menangguhkan beberapa duti dalam pengumuman belanjawan persekutuan akan datang yang dijadualkan pada 1 Februari. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pesawat ringan mendarat tanpa peralatan pendaratan

    MELBOURNE, 13 MEI - Sebuah pesawat ringan dengan tiga orang mendarat dengan selamat tanpa peralatan pendaratan pada hari ini selepas mengelilingi lapangan terbang Australia...