Bekas pelakon kanak-kanak, Macaulay Culkin, baru-baru ini mendedahkan tentang hubungannya yang renggang dengan bapanya, Christopher ‘Kit’ Culkin, dalam sebuah episod podcast Sibling Revelry bersama Kate Hudson dan Oliver Hudson, menurut laporan The Star.
Bintang Home Alone berusia 44 tahun itu berkata, selepas ibu bapanya berpisah beberapa dekad lalu semasa beliau berada di kemuncak populariti, beliau “tidak mahu ada kena-mengena dengan bapanya”.
Perceraian mereka mencetuskan perebutan hak penjagaan yang berprofil tinggi antara Christopher Culkin dan Patricia Brentrup terhadap tujuh orang anak mereka.
“Saya tidak bercakap dengannya… dalam lebih kurang 30 tahun?” kata Macaulay kepada Hudson bersaudara. “Dan dia memang layak diperlakukan begitu.
“Dia ada tujuh anak, kini empat cucu, dan tiada seorang pun yang mahu berhubung dengannya.”
Tambahnya lagi, “Sebagai seorang lelaki, saya akan tahu kalau saya dah buat silap besar.
Tapi saya yakin dia langsung tidak rasa begitu. Bagi dia, kami semua yang salah dan dia betul. Dia seorang yang narsistik dan tidak waras. Saya dan dia sering bertelagah.
“Seperti yang saya katakan, dia seorang lelaki yang jahat.”
Culkin turut mendedahkan bahawa beberapa cubaan oleh adik-beradiknya untuk berbaik semula dengan ayah mereka juga tidak berjaya. – Agensi
