Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi kabel: Tiga dihukum penjara

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid kelmarin menjatuhkan hukuman penjara kepada tiga orang lelaki kerana terlibat dalam kes mencuri dan merosakkan kabel tembaga milik Unified National Networks Sdn Bhd (UNN).

    Abdul Afiq bin Abdul Khaliq, 33, dan Mohammad Hirzy Danial bin Mohammad Izzat, 19, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, manakala Mohamad Reduan bin Judin, 40, menerima hukuman penjara 27 bulan kerana sabitan terdahulu.

    Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan di mana perbuatan mereka menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan utama yang disediakan oleh UNN.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Musawwir bin Haji Awang Mahli mendedahkan pada 16 Oktober lalu, kira-kira jam 1:30 petang, ketiga-tiga defendan menyasarkan kabel tembaga di Jalan Labi, Kampung Mendaram Basar di Daerah Belait.

    Mahkamah mendengar bahawa defendan-defendan itu telah ditangkap selepas seorang saksi melihat individu yang mencurigakan memanjat tiang kabel semasa memandu di sepanjang jalan. Mengesyaki kecurian, saksi itu segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

    Siasatan membawa kepada penahanan ketiga-tiga defendan di sebuah rumah terbiar di Kampung Rempayoh, di mana mereka didapati membakar kabel tembaga yang dicuri. Polis menemui semula kabel dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah itu termasuk tangga, parang, playar dan gergaji besi.

    Semasa disoal siasat, ketiga-tiga defendan mengakui bahawa mereka tiba di lokasi dengan menaiki sebuah kenderaan, dengan Mohamad Reduan bin Judin memanjat tiang untuk memotong kabel, dibantu oleh Mohammad Hirzy Danial, yang seterusnya memutuskan wayar.

    Mereka kemudian mengangkut barangan yang dicuri ke rumah terbiar, di mana mereka cuba menghapuskan bukti dengan membakar kabel.

    Mahkamah dimaklumkan bahawa walaupun Abdul Afiq dan Mohammad Hirzy Danial tidak mempunyai rekod jenayah lampau, Mohamad Reduan pernah disabitkan dengan kesalahan berkaitan harta benda pada 2023.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda