Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daerah Tutong beraksi mantap

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Pasukan Daerah Tutong mendahului pasukan lain yang bersaing dalam acara Shorinji Kempo dengan memperoleh tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) kali ke-4, yang berlangsung di Kompleks Sukan Menglait di sini, baru-baru ini.

    Berada di tempat kedua ialah Pasukan Daerah Brunei dan Muara bersama dua pingat emas dan empat pingat gangsa manakala Pasukan Daerah Temburong akur di tempat ketiga dengan satu pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

    Sementara itu, Pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berada di tangga keempat dengan satu pingat perak dan empat gangsa.

    Semua pungutan pingat dalam acara Shorinji Kempo pada SKBD kali ini antaranya ditentukan daripada empat perlawanan akhir dalam satu disiplin yang dibahagikan kepada empat kategori. Pada Kategori Embu Berpasangan Campuran dimenangi oleh gandingan Mohd Danish Jazali Jaslen dan Syasya Bazxilah binti Haji Mohd Jafny daripada Pasukan Daerah Tutong, dengan meninggalkan gandingan Fadhilatul Azizah Acep Prasojo dan Nasywa Zafira Ahmad daripada Pasukan Daerah Temburong di tempat kedua.

    Moor Farhanah Kamliah dan Arvin Arya Reswara daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara pula akur di tempat ketiga manakala gandingan Pasukan IPT, Mohd Fa’iz Jasni dan Massanizan Haji Mohd Jafny muncul di tempat keempat.

    Tetamu kehormat mengalungkan pingat emas kepada salah seorang pemenang dalam acara Shorinji Kempo SKBD, baru-baru ini.

    Pada Kategori Embu Perseorangan Lelaki pula menyaksikan Mohd Afiq Jazimin Jaslen daripada Pasukan Daerah Tutong dinobatkan sebagai jaguh Embu Perseorangan Lelaki apabila berjaya mencatatkan 408 mata untuk menyumbangkan pingat emas buat pasukannya. Manakala, berada di tempat kedua ialah Muhd Adhwa Al Irsyad bin Haji Didin Jamluddin wakil daripada Pasukan Daerah Tutong dan di tempat ketiga pulan ialah Mohd Asroy Yahya Rozman daripada Pasukan Daerah Temburong.

    Peserta dari Daerah Brunei dan Muara, Nur Syafitri Ayu Kurniawan Wawan Kurniawan pula muncul juara dalam Kategori Embu Perseorangan Wanita apabila meninggalkan pencabar terdekatnya dari Daerah Belait, Nasywa Zafira Ahmad di tempat kedua dan diikuti oleh Nuur Hasanah Tansur dari Daerah Tutong.

    Acara terakhir baru-baru ini iaitu Kategori Embu Berpasangan Lelaki yang dikuasai oleh gandingan Daerah Tutong iaitu Mohd Afiq Jazimin Jaslen bersama Mohd Wafiy Fikri yang menumpaskan Pasukan IPT di tempat kedua.

    Naib juara itu menggandingkan pasangan Abdul Azim bin Haji Jeffry dan Yong Kit Wei yang berjaya meraih pingat perak dan diikuti oleh pemenang pingat gangsa bersama daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara, dan Daerah Temburong.

    Hadir bagi menyaksikan pertandingan akhir dan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda