Sunday, January 26, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daging katak sejuk beku diseludup sempena Tahun Baharu Cina

    KLANG, 24 JAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup daging dan makanan sejuk beku termasuk daging katak dipercayai untuk tujuan pengedaran semasa Tahun Baharu Cina bernilai lebih RM1.4 juta.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata rampasan itu susulan pemeriksaan yang dilakukan terhadap empat kontena sejuk beku di Pelabuhan Barat serta Pelabuhan Utara pada 9 dan 12 Disember lepas.

    Beliau berkata dagangan berkenaan telah diikrar secara tidak benar sebagai ladu sejuk beku dan pankek untuk mengelak daripada dikesan kastam.

    “Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis daging sejuk beku antaranya dada ayam, daging kambing, itik, dan katak serta makanan sejuk beku seperti ladu udang serta jagung, kuih (pau) dan lain-lain.

    “Kesemua dagangan seberat 77,059 kilogram (kg) yang kami percaya dibawa masuk dari sebuah negara Asia ini juga disyaki tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau berkata pengimportan daging dan makanan sejuk beku tertakluk kepada Permit Import dikeluarkan MAQIS di bawah Butiran 1, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. – Bernama

    Norlela Ismail menunjukkan barangan rampasan pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda