Mungkin ramai yang tidak tahu, selain mempunyai bakat nyanyian, penyanyi Daniesh Suffian juga aktif dalam bidang sukan gusti lengan.
Daniesh atau Nur Mohd Daniesh Mohd Suffian, 25, berkata, dia mula berjinak-jinak dalam sukan berkenaan sejak dibangku sekolah lagi.
Kata Daniesh, biarpun menerima lawan daripada pelajar senior yang lebih berusia, namun anak kelahiran Sabah ini tidak pernah tewas ketika beraksi di sekolah.
“Saya mula dengan sukan gusti lengan sejak di bangku sekolah lagi. Ramai kawan-kawan sekolah ajak berlawan dan kami buat perlawanan secara kecil-kecilan.
“Di sekolah saya memang tak pernah kalah walaupun waktu itu saya junior. Daripada situ saya rasa saya ada kekuatan asli dan cuba menyertai perlawanan di Kuala Lumpur,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Daniesh memberitahu ketika dia mula menyertai perlawanan yang lebih besar di Kuala Lumpur, penyanyi ini tidak memperoleh kemenangan kerana kekurangan ilmu tentang sukan tersebut.
Jelas Daniesh, dia tidak malu untuk bertanyakan tip latihan daripada peserta lain sehingga menjadikannya lebih mahir. Sementara itu, penyanyi lagu Mahligai ini menegaskan sukan gusti lengan bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu mempelajari banyak teknik untuk menjadi yang terbaik.
Daniesh juga dikatakan bakal menjadi wakil Malaysia di peringkat dunia pada September depan di Kuala Lumpur. – Agensi
