Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dapatkan roti demi bekalan makanan harian

    SANAA – Penularan wabak COVID-19 secara global telah banyak menjejaskan pelbagai aspek dalam sesebuah negara.

    Daripada aspek kesihatan sehinggalah berhubung dengan ekonomi negara jelas menunjukkan pelbagai kesukaran yang sangat ketara.

    Namun, impak daripada COVID-19 ini lebih memberi kesan kepada negara-negara yang miskin atau negara-negara yang sudah dilanda pelbagai masalah seperti kebuluran akibat peperangan, dilanda penyakit-penyakit lain dan sebagainya.

    Perkara ini juga mempamerkan bagaimana sesebuah negara yang sudah mengalami kesulitan yang belum dapat diatasi terpaksa berdepan lagi dengan situasi penularan wabak COVID-19 yang belum ada cara untuk mengubatinya.

    Sebagaimana di Yaman, setiap hari beratus-ratus keluarga Yaman berdiri dalam barisan yang panjang di hadapan kedai roti amal di ibu kota Sanaa di tengah-tengah ketakutan penyebaran COVID-19 ketika perang saudara yang berterusan di negara itu telah mendorong lebih daripada 20 juta orang Yaman ke ambang kebuluran.

    Orang ramai sedang berebut untuk mendapatkan roti di tengah-tengah ketakutan penyebaran COVID-19 ketika perang saudara yang berterusan di negara itu. – Xinhua
    Gambar bertarikh 27 April 2020 menunjukkan beberapa orang kanak-kanak memegang bungkusan roti yang diperoleh dari kedai roti amal. – Xinhua
    Masyarakat Sanaa menunggu giliran untuk mendapatkan roti di salah sebuah kedai roti amal di Sanaa. – Xinhua

    “Sejak saya meninggalkan pekerjaan berikutan penghentian pembayaran gaji, saya datang ke sini setiap hari untuk mendapatkan 10 buku roti, dan kadang-kadang saya tidak mendapat apa-apa,” kata Ahmed Hizam, seorang penduduk Sanaa, kepada media di pintu sebuah kedai amal di kejiranan Noqom.

    Seorang bapa berusia 62 tahun yang memiliki lapan orang anak adalah salah seorang daripada berjuta-juta warga Yaman yang hidup mengharapkan amal sejak perang saudara meletus lima tahun lalu.

    Amer Al-Qahm, pemilik kedai roti amal, berharap dapat meneruskan bantuan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

    “Kami mengedarkan 12,000 buku roti setiap hari untuk kira-kira 700 buah keluarga… dan kami akan meneruskannya,” katanya.

    Walaupun sejauh ini Yaman hanya mencatatkan satu kes COVID-19 yang disahkan oleh makmal pada 10 April lalu di wilayah Hadramaut, di mana sistem kesihatan yang teruk telah menempatkan jutaan orang terdedah kepada wabak tersebut.

    “Sejak kes COVID-19 yang pertama disahkan, kami telah memberi amaran bahawa virus itu kini ada di Yaman dan mungkin akan merebak,” kata Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Yaman Lise Grande.

    “Tidak ada masa untuk kehilangan… faktornya ada di sini dengan tahap imuniti umum yang rendah, tahap pendedahan akut yang tinggi dan sistem kesihatan yang rapuh dan lemah,” katanya dalam satu kenyataan minggu ini.

    Perang Yaman meletus pada akhir tahun 2014 ketika pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran menyerbu Sanaa dan memaksa pemerintah Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diakui secara antarabangsa untuk melarikan diri.

    Peperangan lima tahun telah menjejaskan ekonomi negara, menyebabkan kejatuhan mata wang tempatan dan mencetuskan penghentian pembayaran gaji kepada berjuta-juta penjawat awam di bandar-bandar utara di bawah kawalan kumpulan Huthi.

    Agensi bantuan PBB menganggarkan bahawa hampir 80 peratus penduduk Yaman memerlukan beberapa bentuk bantuan dan perlindungan kemanusiaan, sementara 10 juta orang kini berdepan dengan masalah kebuluran.

    Perang di Yaman telah merosakkan lebih dari separuh sistem kesihatannya, di mana institusi kesihatan yang rapuh telah berjuang untuk menangani peningkatan jangkitan wabak yang mematikan, termasuk kolera, malaria dan demam denggi.

    Kolera di Yaman telah menjangkiti lebih dari satu juta dan membunuh lebih dari 2,000 yang lain sejak tahun 2017, dalam apa yang digambarkan oleh agensi bantuan PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia dalam sejarah moden.

    Pada bulan Mac, Setiausaha Jeneral PBB Antonio Guterres meminta pihak-pihak yang berperang di Yaman untuk “segera menghentikan permusuhan, dan melakukan segala yang mungkin untuk mengatasi penularan wabak COVID-19.”

    Walau bagaimanapun, pertempuran telah meningkat di beberapa barisan depan. Perang saudara telah mengorbankan puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam, mewujudkan 3 juta pelarian dan mendorong negara itu ke ambang kebuluran.

    Majlis Keselamatan PBB telah meminta pemerintah Yaman dan kumpulan Huthi untuk segera mematuhi seruan Guterres untuk terlibat dalam gencatan senjata di seluruh negara, memulakan kembali rundingan damai dan bersiap untuk memerangi penyebaran wabak COVID-19. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda