DIFTERIA adalah masalah jangkitan tekak yang boleh membawa maut. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphtheria yang tersebar melalui cecair titisan pernafasan melalui batuk dan bersin mereka yang dijangkiti.
Bakteria ini masuk dan menyerang lapisan dalam hidung dan tekak sehingga menyebabkan keradangan tekak dan pembengkakakn.
Ia juga boleh menyebabkan rasa kesukaran untuk menelan dan bernafas.
Simptom
Antara simptom yang hadir dalam diri seseorang individu yang menghidap difteria adalah demam, sakit tekak, suara serak, kesukaran bernafas, lapisan putih pada tonsil atau kerongkong, kelenjar di leher membengkak dan bengkak pada bahagian leher atau bull neck.
Sebaik bakteria difteria menjangkiti seseorang, ia akan berganda dalam tekak dan menyerang kelenjar limfa dan tisu di sekeliling leher sekali gus menyebabkan pembengkakan dan keradangan.

Bakteria ini akan melepaskan toksin dan menyerang pelbagai organ seperti jantung, buah pinggang dan otak di mana seterusnya akan membawa kepada kegagalan organ, kelumpuhan saraf dan akhirnya kematian.
Peluang mereka yang didiagnosis dengan penyakit difteria kerap bergantung kepada status imunisasi difteria, berapa cepat rawatan dimulakan, tahap kesihatan pesakit tersebut dan jumlah bakteria yang menyerang.
Walau bagaimanapun, jangkitan boleh menjadi serius buat kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang tidak mendapat imunisasi difteria yang lengkap atau tiada imunisasi.
Cegah lebih baik
Adalah disarankan agar mendapatkan vaksinasi difteria kepada semua anak damit dan kanak-kanak kerana kadar kematian yang berkaitan dengan jangkitan difteria adalah amat tinggi.
Di kalangan mereka yang tidak mendapatkan vaksinasi, kesannya adalah amat buruk. Sebahagian dari mereka memerlukan bantuan pernafasan dan ada antara pesakit itu yang meninggal dunia.
Jika kanak-kanak tidak diberi vaksinasi difteria atau tidak menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin ini, mereka berisiko untuk meninggal dunia akibat jangkitan ini.
Tetapi jika kanak-kanak itu menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksinasi mengikut jadual yang ditetapkan, keberangkalian penyakit itu untuk berkembang menjadi teruk adalah rendah.
Vaksinasi bukan sahaja mengelakkan kanak-kanak dari mengalami komplikasi penyakit bahaya itu. Kos pencegahan itu juga jauh lebih murah daripada kos rawatan.