Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Dasar pelawat dan pendamping dikemaskini

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Berikutan dengan pengumuman pengemaskinian sukat-sukat langkah pengawalan COVID-19 yang bermula pada hari ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan pengemaskinian dasar pelawat dan pendamping bagi hospital-hospital, pusat kesihatan dan fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan menyatakan pengemaskinian termasuklah pemakaian pelitup muka yang hanya dimestikan di kawasan-kawasan klinikal sahaja apabila berada dalam premis hospital, pusat kesihatan atau fasiliti kesihatan.

    Definisi kawasan klinikal adalah apabila terdapat pertemuan antara petugas kesihatan dan pesakit, serta terdapat perlaksanaan prosedur perubatan, rawatan, konsultasi dan pengambilan ubat-ubatan.

    Sebagai contoh kawasan kecemasan dan kemalangan, kaunter pendaftaran, wad, klinik, farmasi, pembedahan, radiologi dan kawasan koridor dan tempat menunggu yang berdekatan dengan wad atau perlaksanaan prosedur perubatan, rawatan, konsultasi dan lain-lain.

    Kawasan-kawasan klinikal berkenaan tidak termasuk kantin, kedai restoran atau kafe, pantri atau tempat rehat petugas kesihatan, surau, pejabat, bilik kuliah dan bilik mesyuarat.

    Seterusnya, para pelawat tidak lagi dikehendaki untuk membuat ujian pantas antigen (ART) sebelum datang mengunjungi pesakit di wad-wad. Walau bagaimanapun, ujian ART adalah masih digalakkan. Ia akan terus dilakukan bagi pesakit-pesakit yang akan dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

    Pesakit-pesakit yang juga dijangkiti COVID-19 akan dirawat di wad-wad pengasingan yang dikhaskan. Walau bagaimanapun, terdapat kawasan atau klinik yang mungkin mempunyai keperluan bagi pesakit untuk membuat ujian ART.

    Ujian ART dikehendaki bagi pesakit-pesakit luar yang menerima rawatan atau prosedur, seperti kecemasan dan kemalangan meliputi pesakit yang mengalami sakit yang berat atau serius dan yang besar kemungkinan memerlukan kemasukan ke hospital, serta mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza (ILI).

    Seterusnya, bagi mengelakkan risiko jangkitan dan memastikan para pesakit mendapat rehat yang mencukupi serta menerima penjagaan dan rawatan tepat pada masanya maka, hanya dua orang pelawat yang ditetapkan (tidak termasuk penjaga) dibenarkan bagi setiap pesakit pada setiap sesi lawatan semasa waktu melawat. Kanak-kanak bawah 12 tahun masih tidak masuk ke wad atau unit dan pelawat hanya dibenarkan melawat pesakit di wad zon risiko rendah.

    Para pelawat juga tidak dibenarkan melawat pesakit di wad tahanan, wad pengasingan atau mana-mana wad yang aksesnya terhad.

    Di samping itu, dengan kebenaran pesakit, para pelawat dibenarkan untuk membuat panggilan video dengan ahli keluarga tetapi tidak dibenarkan melakukan rakaman video petugas, pesakit lain atau wad yang terlibat.

    Sementara itu, hanya seorang pelawat dibenarkan menemani pesakit untuk perjanjian atau pengambilan ubat. Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan turut menyarankan semua pelawat untuk memastikan memakai pelitup muka pada setiap masa, memperlahankan suara dan elakkan daripada membuat bising dan sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air atau gunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas lawatan.

    Selain itu, pelawat-pelawat juga dikehendaki untuk memastikan telefon bimbit dimatikan atau aktifkan mod senyap, tidak melawat pesakit jika pelawat adalah dalam keadaan tidak sihat atau sakit, menghormati privasi pesakit lain dan mengelakkan daripada makan dan minum dalam wad.

    Seterusnya, hanya seorang penjaga bagi setiap pesakit dibenarkan dan pertukaran penjaga bagi setiap pesakit juga dibenarkan dengan syarat pengganti perlu melakukan ujian ART.

    Mengenai pesakit COVID-19, pengemaskinian dasar menetapkan bahawa mereka tidak dibenarkan menerima prosedur rutin seperti prosedur pergigian.

    Walau bagaimanapun, pesakit COVID-19 yang mengalami simptom yang semakin teruk boleh mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan berdekatan dan perlu memaklumkan kepada petugas kesihatan bahawa mereka adalah positif COVID-19.

    Jika mereka mempunyai temu janji yang dijadualkan apabila mereka positif, mereka boleh menjadualkan semula temu janji mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...