Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Deby Itno dilantik Presiden Chad

    DAKAR, 24 MEI – Chad melantik Mahamat Deby Itno sebagai presiden kelmarin selepas mengadakan pilihan raya awal bulan ini, sekali gus menamatkan peralihan yang dipertikaikan kepada pemerintahan demokrasi selepas beliau merampas kuasa tiga tahun lalu.

    Deby Itno, juga dikenali sebagai Mahamat Idriss Deby, mengambil alih kuasa selepas bapanya, Idriss Deby Itno terbunuh dalam pertempuran menentang pemberontak pada 2021 selepas memerintah negara selama tiga dekad. Pilihan raya pada 6 Mei yang telah lama tertangguh diadakan selepas peme-rintahan ketenteraan selama tiga tahun.

    Saingan utamanya, Succes Masra, yang membantah keputusan tersebut awal bulan ini, meletak jawatannya sebagai perdana menteri pada Rabu. Masra telah terlibat dalam bantahan terhadap keputusan Deby Itno untuk melanjutkan tempoh pemerintahannya dan melarikan diri dari negara itu pada 2022. Dia dibenarkan pulang tahun lalu dan dilantik sebagai perdana menteri.

    Masra, yang mendakwa telah memenangi pilihan raya, mengemukakan rayuan untuk mencabar keputusan awal yang menunjukkan Deby Itno menang, tetapi ia ditolak. Negara pengeksport minyak yang mempunyai hampir 18 juta orang itu tidak mempunyai peralihan kuasa secara demokratik sejak ia merdeka pada 1960, selepas beberapa dekad di bawah pemerintahan jajahan Perancis.

    Dalam ucapan presiden pertamanya, Deby Itno menyatakan kerajaannya akan memberikan tumpuan kepada peningkatan sektor pertanian dan perladangan Chad serta pelaburan dalam pendidikan, akses kepada air dan penjagaan kesihatan.

    “Saya telah mendengar keinginan awda untuk perubahan dan saya memahaminya. Mari kita semua memainkan peranan kita, secara individu dan kolektif, untuk membawa perubahan yang kita semua harapkan, idamkan dan jangkakan,” katanya. – AP

    Mahamat Deby Itno menyertai majlis perasmiannya di N’djamena, Chad pada 23 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...