GLASGOW, 2 Feb – Pemain pertahanan Belgium, Dedryck Boyata telah menjaringkan satu-satunya gol dalam kemenangan 1-0 Celtic ke atas Aberdeen dan kemudian mendedahkan bahawa sesi latihan malam telah membantunya kembali ke dalam pasukan.
Tandukannya di separuh masa kedua sudah cukup untuk melanjutkan kemenangan liga ke-18 dan memastikan Celtic tanpa kalah dalam 28 perlawanan domestik.
Pasukan Brendan Rodgers juga mempunyai kelebihan mata yang besar, 25, di puncak Scottish Premiership.
“Saya telah melalui beberapa saat yang sukar dan kembali daripada kecederaan, dan juga terlepas Euro,” kata pemain Belgium itu.
“Malah selepas pulih daripada kecederaan anda perlu mengembalikan kecergasan. Dari sana, pasukan bermain dengan baik dan kemudian anda perlu mendapatkan tempat dalam pasukan.
“Ketika saya tidak bermain, saya pergi ke pusat latihan selepas berlatih dan ketika cuti serta membuat beberapa larian sehingga tengah malam, kadangkala 1 pagi. Saya bekerja keras dan kini ia berbaloi.”
Rodger memberikan pujian kepada Boyata apabila menjaringkan gol keduanya dalam empat perlawanan sejak kembali ke kesebelasan utama bulan ini.
Boyata, juga menjaringkan gol kemenangan menentang St Johnstone minggu lepas, sekali lagi membantu Celtic menamatkan perlawanan tanpa bolos.
“Dia bermain dengan bagus sekali lagi. Dia layak menerima semua pujian kerana ia adalah tempoh yang sukar baginya ketika mula-mula datang dari Manchester City dengan jangkaan yang sangat tinggi,” kata bos Celtic itu. – AFP