Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Denda buang sampah di tempat awam dinaikkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan) 2021, yang dikuatkuasakan bermula 29 Disember 2021.

    Pindaan tersebut adalah bagi beberapa peruntukan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) seperti perubahan nama Akta Kesalahan-kesalahan Kecil; menaikkan kadar hukuman denda dan tempoh hukuman penjara bagi individu yang dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah bagi mana-mana kesalahan di bawah Bab 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) iaitu bagi kesalahan-kesalahan berkaitan dengan pembuangan sampah di tempat awam.

    Perkara tersebut telah diketengahkan oleh Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut, selaku pengerusi Kumpulan Petindak Legal dan Enforcement Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan semasa sesi sidang media Negara Bersih, Negara Sihat, Negara Ku bagi Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Manakala, badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab ini boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Awang Salminan semasa menerangkan mengenai Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan) 2021 pada majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Selain itu, tambah beliau, kadar denda kompaun dinaikkan bagi mana-mana individu atau badan korporat yang ditawarkan denda kompaun bagi kesalahan di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan di bawah akta tersebut yang ditetapkan sebagai kesalahan yang boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 bagi individu manakala denda kompaun tidak melebihi $2,000 bagi badan-badan korporat.

    Seterusnya, mana-mana individu atau badan korporat yang telah menjelaskan bayaran denda kompaun, maka tiada prosiding lanjut boleh diambil terhadap individu atau badan korporat itu berkenaan dengan kesalahan itu.

    Pindaan ini juga mengandungi peruntukan yang membolehkan tindakan ke atas badan-badan korporat termasuk syarikat, perkongsian atau persatuan termasuk pegawai atau pengurus bagi syarikat, perkongsian atau persatuan berkenaan.

    Sebagai contoh, jika sekiranya sebuah badan korporat didapati telah melakukan kesalahan di bawah akta tersebut dengan pengetahuan atau disebabkan oleh pengabaian individu yang merupakan pegawai atau kakitangan bagi badan korporat itu, maka pegawai atau kakitangan dan juga badan korporat berkenaan akan dikenakan hukuman.

    Dengan adanya pindaan ini khususnya melalui peningkatan kadar denda-denda dan tempoh hukuman penjara, diharapkan ini akan menjadi pencegah bagi mana-mana individu atau badan korporat daripada melakukan kesalahan berkaitan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab di tempat-tempat awam di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda