Oleh Daniel Lim
TUTONG, 1 OKT – Seorang individu warga Bangladesh telah dikenakan kompaun $500 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kerana membuang sampah di tempat awam, hari ini.
Individu berkenaan didapati membuang pelbagai barangan terbuang, daripada serpihan besi hingga perabot rosak, beg-beg plastik banyak lagi di jalan awam di tepi Lebuh raya Tutong Telisai, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Seksyen 12 (1) (f) (ii).
Individu tersebut diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh didenda $1,000 atau penjara sebulan. Bagi kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda $3,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. JASTRe juga mengingatkan orang awam dan pemilik perniagaan supaya bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan alam sekitar terus terjaga.
