Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Bagi menyuntik semangat kaum keluarga di negara ini untuk melazimkan diri bersama-sama membaca dan mencintai Al-Quran dengan berterusan, Program Pencinta Al-Quran sempena Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi telah diadakan pagi tadi bertempat di Mahad Islam Brunei, Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi dan Datin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.
Program berkenaan juga bertujuan melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas pencinta Al-Quran di samping mengembangkan syiar dan dakwah Islam di negara ini.
Program tersebut diisikan dengan bacaan ayat-ayat suci AI-Quran oleh qari jemputan dari Malaysia bersama keluarga, iaitu Haji Azraie bin Dato’ Haji Abdul Hak, penerima Anugerah Ikon Keluarga AI-Quran Keedsflix Tahun 2023 dan johan qari Pertandingan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuwait Tahun 2018.
Terdahulu program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, Awang Mohammad Adilah bin Suimi, diikuti dengan Bual Bicara bersama Haji Azraie berserta keluarga.
Persembahan qari jemputan berserta keluarga dihasrat akan menyuntik semangat orang ramai khususnya para hadirin program berkenaan dan menjadi teladan bagi mengasuh serta mendidik ahli-ahli keluarga terutama anak-anak agar sentiasa mencintai dan berdamping dengan Al-Quran.
Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji lbrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar serta ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan KHEU.