KALAU nampak anak-anak tengah panjat pokok, apakah reaksi ibu bapa? Mungkin saja ada yang menjerit ‘turun!’ sambil urut-urut dada atau pegang rotan. Sabar dahulu, mungkin tip yang diberikan ini akan dapat mengawal kemarahan anda sebagai penjaga.
Anak-anak zaman sekarang jarang berpeluang untuk bermain di luar rumah. Anak-anak yang tinggal di kampung mungkin masih ada, tapi kalau di bandar-bandar besar hendak melihat pokok pun susah apatah lagi hendak bermain? Masa seharian pula banyak dihabiskan di sekolah, di balik dinding batu bilik darjah. Bila di rumah, anak-anak sibuk dengan televisyen dan gajet masing-masing. Langsung tak ada peluang untuk ‘berhubung’ dengan alam semula jadi, menghirup udara segar dan melihat pohon-pohon yang menghijau.
Kalau ditanya rugikah anak-anak kita? Jawapannya memang sangat rugi. Alam adalah anugerah yang cukup indah daripada Tuhan buat kita manusia. Ia tidak dapat dikalahkan oleh teknologi ciptaan manusia walau secanggih mana sekalipun. Terdapat banyak sekali manfaat yang dapat diraih oleh anak-anak kecil yang dibiarkan bermain di luar. Ini bukan hanya cakap kosong, tetapi berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan berdekad lamanya. Secara umumnya, kajian-kajian ini mendapati bahawa anak-anak yang didedahkan pada alam sekitar setiap hari memperoleh impak positif dari segi sosial, fisiologikal, akademik dan juga kesihatan fizikal. Antara kesan-kesan positif tersebut adalah:
1. Membantu dalam pelbagai domain perkembangan kanak-kanak
Alam semula jadi mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan kanak-kanak tidak kira dari segi intelektual, emosi, sosial, spiritual mahupun fizikal.
2. Menyokong kreativiti dan penyelesaian masalah
Kajian terhadap kanak-kanak sekolah mendapati bahawa apabila kanak-kanak ini bermain di kawasan yang hijau, mereka menonjolkan cara bermain yang lebih kreatif. Bermain di luar juga penting dalam membentuk kemahiran menyelesaikan masalah serta perkembangan intelektual kanak-kanak.


3. Meningkatkan kemahiran kognitif
Menurut kajian juga, kanak-kanak yang berada dekat, dapat melihat dan sentiasa terdedah dengan persekitaran yang alamiah mempunyai fokus yang lebih baik serta menunjukkan peningkatan dalam perkembangan kognitif mereka.
4. Memperbaiki prestasi akademik
Menurut Institut Penyelidikan Amerika, para pelajar yang didedahkan dengan pembelajaran di luar kelas serta pendidikan berasaskan alam semula jadi menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam mata pelajaran kajian sosial, sains, seni bahasa dan juga matematik.
5.Mengurangkan simptom ADD (attention deficit disorder)
Dalam satu kajian, kanak-kanak yang ‘berhubung’ dengan alam semula jadi menunjukkan pengurangan yang signifikan dalam simptom ADD mereka. Ini dapat dilihat pada kanak-kanak semuda usia lima tahun.
6. Meningkatkan aktiviti fizikal
Kanak-kanak yang berada di persekitaran semula jadi juga lebih cenderung untuk melakukan pelbagai akitiviti fizikal. Bayangkan jika kita berada di tengah padang yang luas, pastinya kita berasa teruja untuk berlari, melompat dan menendang bola, betul tak?
7. Memperbaiki nutrisi
Ajar kanak-kanak untuk bercucuk tanam. Kanak-kanak yang menanam sendiri makanan mereka lebih cenderung untuk makan sayur dan juga buah serta menunjukkan pengetahuan yang lebih luas tentang khasiat pemakanan. Mereka juga lebih berkemungkinan untuk meneruskan tabiat pemakanan yang sihat apabila dewasa kelak.


8. Memperbaiki penglihatan
Kajian dari Akademi Oftalmologi Amerika pula mendapati masa yang diluangkan di luar berkait dengan penurunan kadar penghidap rabun dekat (myopia) dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
9.Memperbaiki hubungan sosial
Kanak-kanak yang selalu dibiarkan bermain di luar secara bebas juga dikatakan lebih bijak, lebih gembira dan lebih mudah untuk bergaul dengan orang lain.
10.Memperbaiki disiplin diri
Pendedahan kepada kehijauan alam dapat membantu kanak-kanak berasa lebih tenang, meningkatkan kawalan diri (self-control) serta membantu dalam disiplin diri, terutamanya bagi yang tinggal di bandar.
11. Mengurangkan stres
Kehijauan alam serta akses kepada kawasan bermain yang natural dapat mengurangkan stres kalangan kanak-kanak. Lebih banyak pokok lebih baik!
Ini adalah sebahagian hasil positif yang dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan. Meluangkan masa di luar bukan hanya terhad kepada bermain, tetapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh anak untuk ‘berkomunikasi’ dengan alam semula jadi. Antaranya bercucuk tanam, membaca atau mengulangkaji di bawah rimbunan pohon, memancing ikan dan sebagainya.
Bagi yang berugama Islam, mungkin boleh bawa anak kita untuk solat dan membaca Al-Quran di kawasan seperti pantai dan air terjun. Ia dapat mengajar anak menghargai keindahan alam dan merenung kebesaran kuasa Tuhan. – Agensi