Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Didik jiwa raga berbakti kepada negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Meskipun terselindung di sebalik tabir di saat Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dihidupkan dengan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40), para petugas dan sukarelawan tetap teguh berusaha menggenggam tanggungjawab yang besar lebih-lebih dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan golongan peserta dan orang ramai terjamin.

    Kesungguhan mereka jelas terpancar sejak menghadiri sesi-sesi raptai pada beberapa hari sebelum upacara sebenar berlangsung.

    Sehubungan itu, Media Permata berkesempatan menemui beberapa orang petugas dan sukarelawan bagi mengetahui serba sedikit peranan mereka dalam sama-sama menjayakan upacara tersebut.

    Jurulatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), 14859 (B) Staf Sarjan Mahadi bin Haji Osli, yang ditugaskan untuk mengawal Zon A, mengongsikan penglibatan warga PKBN dalam acara-acara kenegaraan, bukan sahaja sebagai peserta tetapi juga menanai amanah selaku petugas dan sukarelawan di mana dari situlah ia secara tidak langsung untuk mereka terus mencurahkan jiwa raga semangat patriotik bersama dalam kalangan warga program berkenaan.

    “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kami dapat melaksanakan apa sahaja tugasan diberikan yang melibatkan acara-acara kenegaraan. Saya berharap agar penglibatan warga PKBN dalam acara-acara seperti hari kebangsaan ini akan dipertingkatkan agar dapat memberikan khidmat yang lebih berkesan.

    Staf Sarjan Mahadi (dua dari kanan) yang ditugaskan untuk mengawal Zon A bergambar ramai bersama ahli PKBN yang terlibat. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pengiran Siti Hafizah semasa ditemu bual oleh media. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Hafiz dan Dayang Izzat Nur Syazaa meluahkan rasa syukur kerana buat pertama kali dipilih untuk menyertai upacara kenegaraan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    “Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, setakat ini kami dapat memastikan tugas yang diamanahkan berjalan dengan lancar,” tambahnya. Staf Sarjan Mahadi menjelaskan lanjut, beliau dan warga PKBN yang lain juga ditempatkan di beberapa zon di sekitar upacara berlangsung dengan misi untuk memantau kemasukan jemputan yang dikhaskan mengikut zon masing-masing.

    Salah seorang petugas dari Kementerian Kesihatan, Staf Jururawat dan Paramedik, Pengiran Siti Hafizah binti Pengiran Haji Erwan pula mengongsikan, lebih enam klinik disediakan untuk upacara penuh bersejarah tersebut di mana setiap klinik menempatkan kira-kira lima kakitangan termasuk doktor, jururawat dan paramedik bagi memberikan bantuan sekiranya ada peserta dan pengunjung memerlukan perkhidmatan perubatan kecemasan ketika sambutan berlangsung.

    Mengimbas pengalaman yang ditempuhi setelah beberapa kali bertugas sebagai paramedik di acara-acara kenegaraan itu, beliau berkata kebanyakan mereka yang memerlukan perkhidmatan perubatan kecemasan adalah disebabkan tidak mengambil makanan terlebih dahulu atau kekurangan air dalam badan.

    “Sudah semestinya persediaan awal itu sangat penting sebelum mengikuti atau menghadiri acara sebegini dengan mengambil sarapan pagi walaupun cuma menu ringan, minum air yang cukup dan membawa kipas mini elektrik terutama semasa cuaca panas,” saranan beliau.

    Sementara itu, dua orang sukarelawan Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM), Awang Hafiz bin Awang Hasdi dan Dayang Izzat Nur Syazaa Najibah binti Haji Abdul Rahman dalam kesempatan ditemui turut meluahkan rasa syukur kerana buat pertama kali dipilih untuk menyertai upacara kenegaraan sedemikian.

    “Sejujurnya, tugas sebagai sukarelawan ini telah memberikan kami peluang untuk menimba pengalaman berharga dalam kerja-kerja melibatkan kemasyarakatan. Pastinya banyak kelebihan yang diperolehi dengan melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan yang sekali gus mendidik jiwa raga kami untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara secara keseluruhannya,” jelas mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...