Sunday, January 5, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipaksa ikuti kursus, kini pendandan rambut profesional

    SELANGOR, 3 JAN – Benar kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta.

    Bermula dengan paksaan ibu saudara yang menghantarnya ke kursus gunting rambut anjuran pertubuhan GiatMara kerana tidak mahu melihatnya membuang masa ketika cuti sekolah, Sallehuddin Mohd Jupri kini boleh berbangga kerana namanya semakin dikenali sebagai antara pendandan rambut profesional negara.

    Menurut anak muda berusia 24 tahun ini, daripada kursus dua hari itulah timbul minat beliau dalam bidang berkenaan dan akhirnya menjadi sumber pendapatannya sekarang.

    “Ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Ibu saudara paksa saya ikuti kursus tersebut. Selepas tamat kursus kami dibekalkan peralatan menggunting rambut secara percuma dengan gunting, sikat, mesin pemotong (rambut) dengan wayar panjang. Saya (sendiri) pun tak tahu nak buat dengan semua peralatan itu,” katanya mengimbas kembali kenangan kira-kira sembilan tahun lalu kepada Bernama

    Bagaimanapun, pemilik syarikat Takara Barbershop ini berpegang pada prinsip ‘kalau orang lain boleh buat, takkan aku tak boleh’, dan berbekalkan gunting berharga RM2 beliau mula mempraktikkan teknik yang dipelajarinya semasa kursus dengan menjadikan rambut rakan-rakan sekolah sebagai ‘bahan eksperimen’.  

    “Bukan seorang dua rakan sekelas jadi bahan eksperimen saya ketika itu, dan kebanyakannya pula berakhir dengan kegagalan, namun semua itu tidak mematahkan minat saya. Sebaliknya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya ikuti kursus enam bulan dalam bidang Senireka Gaya Rambut di GiatMara Shah Alam,” kongsinya lagi.

    Sallehuddin bercerita tentang sijil-sijil yang dipamerkan di kedainya. – Bernama

    Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau menjadikan kawasan teduhan bawah pokok di perkarangan rumahnya sebagai ‘kedai gunting rambut’ yang membantunya menajamkan kemahiran.  

    “Habis kursus (pada sebelah pagi), petang saya buka ‘operasi’ di bawah pokok. Ketika ini saya sudah mahir menggunakan peralatan dandanan rambut dan tawarkan khidmat dengan caj serendah RM5,” ujarnya. 

    Melihat minatnya yang semakin mendalam dalam bidang itu, ada antara saudara mara dan rakan-rakan yang tidak yakin dengan kemampuannya selain menganggap kerjaya tersebut tidak memberikan pendapatan lumayan ataupun masa depan yang cerah.

    Enggan tunduk, Sallehuddin meneruskan usaha mengejar cita-citanya dengan meningkatkan kemahiran termasuk menyertai pelbagai pertandingan dalam negara dan pernah meraih gangsa pada Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2019 dalam bidang dandanan rambut. 

    Dalam tempoh itu juga beliau turut menjalani latihan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) setelah dipilih menjadi wakil tunggal negara dalam bidang dandanan rambut di World Skills Competition (WSC) di Shanghai, China yang sepatutnya berlangsung pada Oktober 2022, namun ditangguhkan kerana penularan COVID-19. 

    Walaupun sedih tidak dapat menunjukkan kemahirannya di pertandingan itu, Sallehuddin tetap bersyukur kerana banyak ilmu yang diperolehnya sepanjang latihan di JPK yang turut mendorongnya untuk mengikuti latihan sebagai tenaga pengajar di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

     “Bayangkan sewaktu latihan untuk ke WSC, Isnin hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 9 malam saya tiada cuti, saya dipantau oleh cikgu saya. Malah, saya pernah melarikan diri daripada latihan dan bersembunyi selama seminggu kerana tidak tahan dengan latihan yang sangat ketat dan cikgu yang sangat garang,” katanya.

    Sallehuddin pernah larikan diri dari latihan ketat cikgunya. – Bernama

    Jerih sepanjang latihan tidak sia-sia, kerana berbekalkan ilmu yang diperoleh keyakinannya juga bertambah dan dibuktikan oleh beliau menerusi kemenangan tempat kedua di 28th Asia Pacific Hairdressers and Cosmetologist Association (APHCA) Cambodia – Asia Pacific Hair, Make-up, and Beauty Olympics 2024 di Kemboja pada Oktober lepas.

    Kini khidmat beliau ditagih ramai termasuk selebriti, namun pada masa sama beliau turut menjelajah ke seluruh pelusuk negara menurunkan ilmunya sebagai tenaga pengajar.

    Bukan itu sahaja, berita kepakaran Sallehuddin dalam bidang dandanan rambut turut didengari negara jiran seperti Indonesia yang mengundangnya mengadakan kelas di negara tersebut.

      Menepis pandangan negatif  terhadap bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sallehuddin berkata selaku ‘produk’ TVET, beliau membuktikan lulusan bidang itu mampu mencipta kejayaan asalkan ada usaha bersungguh dan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang dipelajari. – BERNAMA

     Sallehuddin ketika ditemui di kedainya, Takara Barbershop baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda