Penampilan pereka fesyen Donatella Versace sekali lagi mencuri tumpuan ramai yang terkejut melihat perubahan ketara pada bahagian wajahnya.
Selepas dikritik gara-gara melakukan pembedahan kosmetik sehingga mencacatkan wajahnya, Donatella, 69, mula mendapat pujian apabila muncul dengan penampilan segar dan berseri.
Ramai yang menganggap prosedur dibuat kali ini benar-benar menampakkan hasil.
Donatella mencuri perhatian ramai ketika hadir memberi sokongan pada acara pembukaan malam gala Devil Wears Prada Musical di London baru-baru ini.
Bukan hanya wajah, busana digayakan turut mendapat pujian kerana berani menggayakan busana warna emas yang menampakkan pakaian dalamnya, lapor mStar.
Namun di sebalik pujian ada juga yang membuat tanggapan Donatella menyunting dahulu setiap gambar yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Menerusi beberapa keping gambar bidikan jurugambar, jelas kelihatan kedutan pada wajahnya dan ia tidak sama seperti yang dikongsi.
Tahun lalu, wajah pereka fesyen asal Itali ini pernah menjadi perbualan hangat kerana nampak berbeza selepas melakukan pembedahan.
Ramai yang melabelkan Donatella seperti hantu disebabkan terlalu kurus. – Agensi