Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dron dijadikan senjata perang baharu Israel

    PALESTIN, 2 APRIL – Ketika ‘hukuman mati’ di lapangan berterusan terhadap orang awam Palestin oleh tentera pendudukan Israel, dron sebagai satu lagi ‘alat pembunuh’ digunakan untuk menjalankan ‘operasi’ berkenaan dari jarak jauh tanpa perlu mendedahkan askarnya kepada sebarang risiko.

    Tentera Israel meningkatkan penggunaan dron untuk membunuh dan mencederakan rakyat Palestin sejak pencerobohannya di Semenanjung Gaza bermula Oktober tahun lepas walaupun sebelum ini ia dihadkan untuk tujuan risikan, lapor agensi berita dan maklumat Palestin (WAFA).

    “Askar Israel seolah-olah sedang dalam permainan elektronik dan bukannya nyawa manusia,” kata Umm Majdi Ararawi kepada WAFA.

    Pengarah Yayasan Al-Haq, Shawan Jabarin, menyifatkan pengeboman Israel yang disengajakan ke atas orang awam menggunakan dron sebagai jenayah perang yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, terutama apabila orang yang disasarkan itu diketahui oleh tentera pendudukan dan maklumatnya tercatat dalam daftar negara.

    “Tentera pendudukan tidak berusaha sedikit pun untuk menangkapnya jika memang terbukti mereka (mangsa) dikehendaki,” jelasnya.

    Beliau menambah, “Ini adalah pembunuhan di luar garis undang-undang dan pelaku jenayah ini adalah pendudukan Israel, bermula dengan anggota tentera bawahan sehingga ke pasukan perisikan dan sudah tentu tanpa mengecualikan Perdana Menteri Israel, kerana ini bukanlah kerja seorang askar tetapi seluruh sistem ketenteraan dan dialah (PM) yang menyetujuinya.”

    Beliau mengatakan apa yang dilakukan Israel dengan membunuh melalui dron adalah perbuatan sengaja, yang bukan sahaja membunuh orang didakwa dikehendaki, tetapi juga sekumpulan besar orang lain yang berhampiran. – Bernama

    Seorang budak lelaki Palestin melihat dron di langit di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 2 April. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...