Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    DST tingkat pengalaman pelanggan dengan CRM

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Datastream Digital Sdn Bhd (DST) bulan ini menandakan tahun ke-4 transformasi industri telekomunikasi di Negara Brunei Darussalam dengan melancarkan produk baharu iaitu sistem pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) Digital Telco buatan Brunei.

    Hadir menyempurnakan pelancaran produk baharu berkenaan di Tarindak D’Seni hari ini ialah Pengerusi DST, Haji Sofian bin Haji Mohammad Jani.

    Menurut DST, pelancaran Digital Telco CRM adalah penting kerana ia merupakan ansuran pertama bagi penyampaian seterusnya dalam pembangunan platform digital DST.

    Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni menekankan bahawa pendekatan mereka yang mengutamakan rakyat dalam membangunkan platform digital adalah sangat penting, dalam dua prinsip.

    “Prinsip pertama adalah penting bahawa kita membangunkan bakat tempatan kita sendiri, membangunkan kemahiran dan pendedahan mereka adalah lebih penting daripada pembangunan Digital Telco CRM itu sendiri,” ujarnya.

    Andy Lai Boon Ho bergambar bersama pasukan DST. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Radin Sufri menyaksikan Haji Sofian menyempurnakan pelancaran produk baharu berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Suasana pelancaran produk baharu di Tarindak D’Seni. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Katanya, kunci kepada pembangunan Digital Telco CRM adalah pasukan perniagaan DST, pengetahuan perniagaan dan proses mereka, semuanya telah dibangunkan daripada pengalaman kumulatif pasukan DST sendiri.

    Naib Presiden Digital dan Inovasi, Andy Lai Boon Ho yang mengetuai projek itu berkata, “Dengan menyedari potensi pengetahuan perniagaan dalaman kami, kami meneroka bagaimana itu boleh digunakan bagi menyokong perniagaan kami dan pasukan menghadapi pelanggan, dalam persekitaran pasaran yang pantas. Kami akan terus mempertingkatkan pembangunan CRM Telco Digital kami kepada melangkaui ciri-ciri telco apabila DST memasuki ruang Fintech”.

    Radin Sufri pula menambah, “Prinsip kedua yang mendahulukan kemahuan rakyat adalah pelanggan. Sistem DST mesti tangkas dalam menyampaikan pengalaman pelanggan yang berbeza bagi manfaat pelanggan kami, jika tidak, sebarang pembangunan teknologi tidak akan memenuhi objektif pelanggannya”.

    Ciri utama Digital Telco CRM yang dipertingkatkan digunakan bagi menyokong saluran omni DST daripada aplikasi MyDST, Chatbot, cawangan DST, pusat panggilan 151 dan 16888, web dan saluran dalam talian lain, USSD, peniaga dan pendekatan ejen dalam pendekatan mengutamakan pelanggan.

    Dalam konteks transformasi digital, transformasi-transformasi kecil bagi penumpuan pengetahuan, pembangunan perisian dan akhirnya menyokong pendekatan berpusatkan pelanggan itu membentuk agenda transformasi yang lebih besar dalam DST.

    Transformasi berterusan dengan penambahbaikan lanjut kepada Digital Telco CRM akan dibuat, dengan kepakaran bakat tempatan dalaman DST untuk menangani keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...