JAKARTA, 3 DIS – Sekurang-kurangnya dua pegawai tentera cedera apabila peranti letupan dipercayai bom asap meletup di taman Tugu Negara Indonesia, berhampiran istana presiden di tengah Jakarta hari ini, tetapi pihak berkuasa menolak ia sebagai satu serangan.
Letupan itu berlaku sekitar 7 pagi waktu tempatan tatkala anggota tentera dan polis melakukan rutin senaman mereka di kawasan ibu negara itu.
“Kami kini sedang melakukan penyiasatan mengenai dengan kejadian itu,” ketua polis Jakarta, Gatot Eddy memberitahu wartawan sambil menambah bahawa dua mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
“Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian tangan dan seorang lagi di bahagian kaki,” jelasnya.
Terdahulu jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono, memberitahu Kompas TV: “Ada letupan tetapi kami masih menyiasat puncanya.
Sementara seorang jurucakap presiden berkata ketika letupan itu berlaku, Presiden Joko Widodo tidak berada di kediaman rasminya di kawasan itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada letupan disebabkan serangan berunsurkan agama, tetapi negara paling ramai umat Islam di dunia itu, berhadapan kebangkitan militan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP
