Friday, January 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua lagi pelari 4x100m Malaysia ditentukan minggu depan

    SHAH ALAM, 5 SEPT – Dua lagi pelari yang bakal menggalas cabaran Malaysia dalam acara 4×100 meter (m) lelaki pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China akan ditentukan selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Indonesia minggu depan.

    Jurulatih pecut Malaysia, Mohd Poad Md Kassim berkata buat masa ini, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Azeem Fahmi, masing-masing dijangka diletakkan sebagai pelari pertama dan terakhir dalam acara berkenaan.

    “Pelari kedua dan ketiga masih dalam penilaian terakhir, sebelum kita berangkat ke Hangzhou. Walaupun kita sudah memilih dua pelari untuk acara 4x100m, kita akan bawa pelari simpanan.

    “Sebab ada antara mereka yang akan berlari dalam acara individu dan kita tidak tahu apa akan berlaku kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Selain Khairul Hafiz dan Muhammad Azeem yang disenaraikan dalam kuartet 4x100m negara, turut berada dalam penilaian terakhir ialah Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Haiqal Hanafi.

    Dalam pada itu, Khairul Hafiz yang diberi julukan The Speedy Jantan, bersedia menggalas cabaran sebagai pelari pertama Malaysia, sambil mengakui penyertaan Muhammad Azeem sebagai pelari terakhir bakal menjadi tonik tambahan buat kuartet Malaysia, dalam mencatat keputusan positif pada temasya sukan itu.

    “Bila jurulatih buat perubahan sejak Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, nampak ada peningkatan dari segi masa,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kraf Budaya Malaysia kepada Atlet Malaysia di Proton Centre, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini hari ini. – Bernama

    Gambar Envato Elements
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda