CANBERRA, 21 JAN – Sepasang panda gergasi membuat penampilan sulung hari ini di Adelaide, Australia selepas tiba dari China bulan lalu, lapor Xinhua.
Di Zoo Adelaide, majlis sambutan istimewa diadakan untuk orang ramai bertemu pasangan hitam-putih ini di kawasan hutan buluh, kira-kira 7,500 kilometer jauhnya dari kampung halaman mereka di Wilayah Sichuan, barat daya China.
Majlis turut dihadiri oleh pegawai, orang kenamaan dan aktivis pemeliharaan haiwan dari China dan Australia, seminggu sebelum Tahun Baharu Cina.
Duta Besar China ke Australia, Xiao Qian berkata nilai keharmonian, keterangkuman dan keterbukaan China dapat dilihat melalui panda, yang melambangkan aspirasi rakyat China dan Australia untuk persahabatan serta hubungan erat, sekali gus menjadi simbol persahabatan mendalam antara kedua-dua negara.
“Hubungan erat antara rakyat adalah kunci kepada hubungan antara negara yang baik,” kata Xiao.
Beliau turut berharap agar pasangan panda itu menjadi duta baharu yang mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua bangsa.
Pasangan panda gergasi itu akan menghabiskan masa selama 10 tahun di Zoo Adelaide, menggantikan pasangan panda sebelumnya, Wangwang dan Funi yang kembali ke China pada November selepas 15 tahun di Australia dan menarik lebih lima juta pengunjung. – Bernama