Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dua pesawat C295MW baharu tiba di Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini berkenan berangkat ke upacara ketibaan dua daripada empat buah pesawat C295MW baharu yang ditempah bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Hadir sama semasa upacara ketibaan pesawat tersebut ialah setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah angkatan bersama ABDB, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan ABDB dan delegasi dari Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Ketua Airbus Rantau Asia Pasifik dan China, Zakir Hamid.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung beredar masuk ke Bilik Merpati untuk disembahkan taklimat ringkas dan disusuli dengan tayangan video daripada
    Airbus Defence and Space.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan memasuki kokpit salah sebuah pesawat C295MW yang baru tiba di Pangkalan Tentera Udara Rimba, kelmarin.
    – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat ke upacara ketibaan dua daripada empat buah pesawat C295MW baharu yang ditempah bagi TUDB, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai di hadapan pesawat C295MW. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan disembah kenalkan dengan juruterbang pesawat baharu berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dua pesawat baharu yang tiba di negara ini akan meningkatkan lagi keupayaan TUDB dalam melaksanakan pelbagai misi pengangkutan strategik dan taktikal daripada tahap serantau dan antarabangsa. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Water Salute bagi pesawat C295MW yang baru tiba di Pangkalan Tentera Udara Rimba, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Upacara tersebut dimulakan dengan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung beredar ke ruang tempat duduk khas untuk menyaksikan ketibaan pesawat-pesawat C295MW yang menerima Water Salute sebagai tanda penghormatan setibanya menuju masuk melalui Military Apron.

    Sebagai tanda syukur ke hadrat Allah SWT, kru-kru pesawat melaksanakan Sujud Syukur atas selamat kembalinya ke tanah air setelah selesai membuat penerbangan jarak jauh selama enam hari yang telah bermula dari perkilangan pesawat di Seville, Sepanyol pada 18 Januari lalu.

    Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji
    Ainolnizam bin Haji Ibrahim bagi memohon keberkatan upacara.

    Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat bagi sesi sembah kenal kepada kru-kru pesawat dan kemudiannya beredar untuk membuat tinjauan lebih dekat pesawat C295MW dan diteruskan dengan sesi bergambar bersama kru-kru pesawat dan sesi bergambar ramai.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung masuk untuk mene-rima pesambah sebelum beredar ke Bilik Merbuk bagi majlis santap tengah hari.

    Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan.

    Perjanjian projek pengangkutan udara iaitu pembelian empat buah pesawat baharu C295MW telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Airbus Defence and Space pada 2 Disember 2022.

    Ketibaan dua buah pesawat berkenaan adalah berikutan Ujian Penerimaan Pengguna di Airbus Defence and Space di Seville, Sepanyol yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Pemerintah ABDB dan Pemerintah TUDB.

    Upacara Introduction to Service akan dilaksanakan secara berasingan bagi merasmikan pesawat C295MW untuk diperkenalkan ke dalam keupayaan pesawat angkut TUDB.

    Pesawat baharu berkenaan akan meningkatkan lagi keupayaan TUDB bagi melaksanakan pelbagai misi pengangkutan strategik dan taktikal daripada tahap serantau dan antarabangsa seperti operasi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR), pemindahan perubatan (MEDEVAC), operasi-operasi pemindahan bukan tempur (NEO) dan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Pesawat berkenaan juga berupaya melaksanakan pelbagai peranan seperti pengangkutan anggota dan kargo, pengangkutan VIP, freefall, airborne static jumps, cargo drops dan MEDEVAC.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...