Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dua syarikat dianugerahkan kontrak i-Usahawan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Dua buah syarikat tempatan telah dianugerahkan kontrak i-Usahawan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga dalam majlis penandatangan kontrak yang berlangsung di Ibu Pejabat JPE, hari ini.

    Dengan penganugerahan kontrak berkenaan, sehingga hari ini, JPE telah menganugerahkan lima kontrak i-Usahawan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

    Di bawah kontrak tersebut, Barokah Toiyibah Enterprise dan Izouco Moto Services akan menyediakan perkhidmatan pengemasan bagi tempoh tiga tahun di pelbagai kemudahan JPE.

    Pada majlis itu, menandatangani kontrak bagi pihak JPE ialah Pemangku Pengarah JPE, Awang Mohd Amir Sharifuddin bin Haji Ali dan menandatangani bagi pihak Barokah Toiyibah Enterprise ialah pemilik dan pengarah syarikat, Awang Mohd Wadood bin Haji Seruji manakala menandatangani bagi pihak Izouco Moto Services ialah pemilik dan pengarah syarikat, Awang Hairoman Izwan bin Haji Omar.

    Awang Mohd Amir Sharifuddin dan Awang Mohd Wadood semasa menandatangani kontrak yang disaksikan oleh Pengiran Haji Jamra Weira pada majlis tersebut yang berlangsung di Ibu Pejabat JPE. – Gambar serahan JPE

    Kedua-dua kontrak itu akan menyediakan peluang pekerjaan bagi sehingga 12 orang pekerja tempatan.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Penolong Pengurus Barokah Toiyibah Enterprise, Dayang Siti Rubiah binti Raya menyatakan perasaan syukur dan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terutamanya JPE dengan kepercayaan yang diberikan kepada syarikatnya menerusi penganugerahan kontrak berkenaan.

    Beliau menambah dengan adanya peluang melalui program i-Usahawan itu, syarikatnya akan membuat yang terbaik dan akan menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh dan penuh iltizam.

    Beliau juga menyatakan dengan peluang itu, syarikatnya akan memberikan sumbangan kepada negara dan bangsa khususnya dalam memberi pekerjaan kepada warga tempatan.

    Manakala itu, Awang Mohd Wadood menyatakan harapan usahawan belia lain akan mengambil peluang yang diberikan menerusi program i-Usahawan untuk berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

    Sementara itu, Awang Hairoman Izwan dalam temu bual ringkas menyatakan syukur dan penghargaan kepada kerajaan Baginda Sultan atas penganugerahan kontrak i-Usahawan serta peluang yang diberikan kepada mereka sebagai usahawan belia tempatan.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada JPE atas kepercayaan dan latihan yang diberikan untuk menjayakan program berkenaan.

    Mengulas mengenai program i-Usahawan, Awang Hairoman Izwan berkata, ia merupakan program yang amat baik di mana ia boleh membantu golongan belia tempatan untuk memulakan perusahaan sendiri dan pada masa akan datang dapat mengembangkannya bagi menerokai bidang-bidang perniagaan yang lain.

    Sebagai sebahagian daripada latihan yang disediakan oleh program i-Usahawan, Barokah Toiyibah dan Izouco Moto telah menyertai latihan PKS Darussalam Enterprise (DARe) bagi Amalan Kewangan untuk PMKS dan Pendidikan Kewangan bagi Usahawan serta sebuah kursus mengenai Pengenalan Tender oleh DES.

    Program i-Usahawan ialah sebuah Program Pembangunan Keusahawanan yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga untuk menyokong usahawan belia tempatan bagi memulakan, memiliki dan memba-ngunkan perniagaan mereka sendiri serta mendapatkan kontrak pertama dengan kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan-badan berkanun.

    Program yang dilancarkan pada 1 Ogos 2018 bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ke-13 berkenaan menyediakan intervensi pasaran diterajui kerajaan dalam sektor tenaga menerusi peruntukan kontrak perniagaan dan inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...