Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Dunia sedia beralih daripada bahan api fosil

    KUALA LUMPUR – Pada 13 Disember lalu, kira-kira 200 negara pada Persidangan Pihak-pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang Perubahan Iklim yang ke-28 (COP 28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), menerima guna penilaian global yang menggesa peralihan daripada bahan api fosil.

    Penilaian global itu bertujuan membantu negara mensejajarkan pelan iklim mereka dengan Perjanjian Paris 2015 yang menggesa negara pihak mengehadkan kadar kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.

    COP28 yang berlangsung pada 30 November dijadualkan tamat 12 Disember lalu, namun pertelingkahan dalam kalangan negara pihak tentang frasa ‘menghentikan secara berperingkat’ kebergantungan pada bahan api fosil dalam draf perjanjian yang dikeluarkan pada pagi 11 Disember, membuatkan mesyuarat dilanjutkan.

    Terdahulu, lebih 130 negara, saintis dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa agar dilaksanakan sama ada penghentian beransur-ansur atau pengurangan beransur-ansur penggunaan bahan api fosil, namun hal itu tidak dinyatakan secara jelas dalam draf komitmen.

    Bagaimanapun, perbincangan lanjut menghasilkan kompromi yang menggesa setiap negara pihak menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim dengan melaksanakan ‘peralihan’ daripada penggunaan bahan api fosil, yang perlu dipercepatkan agar dapat mencapai sifar bersih pada 2050.

    Tenaga nuklear dilihat sebagai jawapan ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050. – Freepik
    Penggunaan TBB semata-mata tidak mencukupi bagi menangani isu tenaga. – Freepik

    Pada pagi 13 Disember, komitmen itu diterima dan dimuktamad oleh Presiden COP28, Dr Sultan Ahmed Al-Jaber, menerusi ketukan penukul yang disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan termasuk Ketua Iklim PBB, Simon Stiell.

    “Kita telah menggubal pelan tindakan yang kukuh bagi memastikan sasaran 1.5 darjah Celsius dapat dicapai. Dalam kata sepakat ini, buat pertama kali ada ‘hitam putih’ tentang bahan api fosil,” kata Al-Jaber.

    REAKSI BERCAMPUR

    Dilihat sebagai bersejarah kerana buat julung kali punca utama perubahan iklim – bahan api fosil dizahirkan dalam dokumen perbincangan PBB tentang iklim sejak 30 tahun lalu, rata-rata menganggap kesepakatan yang dicapai sebagai ‘permulaan kepada pengakhiran bahan api fosil’.

    Bagi Malaysia, perjanjian yang dimuktamadkan di UAE itu adalah titik perubahan dalam usaha menangani perubahan iklim, dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, negara ini telah melaksanakan pelbagai langkah ke arah memastikan tercapainya sasaran 1.5 darjah Celsius itu.

    “Kami juga akan menjayakan lebih banyak lagi usaha serta bersedia pergi lebih jauh jika mendapat sokongan negara maju,” katanya semasa berucap pada segmen peringkat tinggi COP28 dan dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

    Di sebalik sokongan kuat terhadap dokumen UAE, sesetengah perwakilan dan pemerhati meluahkan rasa kecewa berikutan perjanjian yang dimuktamadkan tidak menyebut tentang ‘menghentikan secara beransur-ansur’ bahan api fosil yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global.

    Malah, selepas dokumen itu diterima pada hari terakhir COP28, timbul sedikit kekecohan di dewan pleno selepas Perikatan Negara-negara Pulau Kecil yang mewakili 39 negara, berkata ia tidak ada di dalam dewan semasa perjanjian diterima kerana masih menyelaraskan maklum balas daripada negara ahli.

    Ketua Perunding kumpulan itu Anne Rasmussen daripada Samoa, tidak membuat bantahan rasmi serta percaya perjanjian tersebut mempunyai elemen yang ‘bagus’, namun meluahkan rasa kesal kerana ‘proses tidak melibatkan mereka’ serta kandungan perjanjian juga dipenuhi ‘lompang’.

    “Seperti biasa, kita berikan kelebihan besar kepada perniagaan sedangkan apa yang kita perlukan sekarang adalah langkah kritikal dalam tindakan kita,” katanya.

    DESAKAN KE ARAH TENAGA BOLEH BAHARU

    Penganalisis Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Dhana Raj Markandu tidak terkejut akan ketiadaan kenyataan konkrit tentang penghentian kebergantungan pada bahan api fosil dalam dokumen UAE itu.

    “Walaupun mengecewakan, setidak-tidaknya bahan api fosil dinyatakan secara jelas dalam teks dokumen yang boleh disusuli pada COP akan datang untuk menetapkan secara jelas batas serta garis masa bagi mengehadkan kadar peningkatan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.

    “Akan tetapi, impak iklim berlaku lebih pantas berbanding kemajuan yang dicapai pada setiap COP, sekali gus menuntut kesegeraan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Ulas beliau, keseluruhannya perjanjian itu menunjukkan komitmen jelas ke arah mening-katkan tiga kali ganda penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan menggandakan kecekapan tenaga menjelang 2030 yang melibatkan pengurangan penggunaan arang batu dan mengiktiraf pelepasan metana sebagai elemen penting yang perlu ditangani.

    “Dengan mengiktiraf rangkuman teknologi melibatkan pelepasan sifar dan rendah, serta tidak terhad pada TBB semata-mata, akan membuka ruang kepada pelbagai pendekatan bagi mendepani cabaran, bergantung pada kemampuan dan sumber yang ada di negara berkenaan,” katanya yang turut mengesyorkan pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar dalam pelan rasionalisasi subsidi Malaysia.

    Menurut beliau, bagi menerima guna dokumen COP28 di Malaysia, kerajaan perlu menimbang setiap jenis bahan api fosil secara berasingan.

    “Matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga ialah menghentikan secara berperingkat penggunaan arang batu (yang akan menghasilkan impak besar ke atas pelepasan) sambil mengurangkan kebergantungan pada petroleum.

    “Bagaimanapun, gas akan terus memainkan peranan penting hingga 2050 bagi memastikan kita dapat mengimbangi kelestarian dengan jaminan tenaga dan kemampuan memiliki, sambil memastikan pembangunan ekonomi dan peralihan sama rata bagi semua segmen masyarakat,” katanya.

    Dhana Raj turut menekankan bahawa TBB semata-mata tidak mencukupi bagi menangani isu tenaga, justeru katanya, kerajaan perlu meningkatkan kapasiti TBB menerusi pengukuhan grid selain menambah pelaburan.

    “Kita juga perlu bersedia untuk menerima opsyen dan penyelesaian lain yang dapat membantu kita mencapai sasaran,” tambah beliau.

    TENAGA NUKLEAR?

    Bagi menangani jurang tenaga yang bakal wujud ketika dunia bergerak ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050, banyak pihak yang melihat tenaga nuklear sebagai jawapan, kerana tenaga jenis itu bukan sahaja bersih tetapi juga boleh diharap, sekali gus menyelesaikan masalah gangguan yang membelenggu sumber TBB seperti angin, hidro dan suria.

    Aktivis inovasi dan nuklear, Sheriffah Noor Khamseah Al-Idid Syed Ahmad Idid berkata COP28 membuka peluang untuk industri nuklear, mengubah reputasinya selaku sumber tenaga kontroversi menjadi sebahagian penyelesaian utama dalam mencapai sifar bersih.

    “Tenaga nuklear yang menjadi subjek larangan untuk dibincangkan kini diiktiraf sebagai penyelesaian segera dalam mitigasi perubahan iklim,” katanya.

    Beliau memetik kenyataan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang disokong oleh puluhan negara bahawa dokumen COP28 mengetengahkan hakikat yang dunia ini memerlukan tenaga nuklear bagi menangani perubahan iklim.

    “Sudah tiba masa agar tindakan diambil bagi memperluas penggunaan sumber tenaga bersih ini dan seterusnya membina ‘jambatan rendah karbon’ pada masa akan datang.

    “Pada COP28, kita menyaksikan pemimpin dunia daripada 22 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Perancis, United Kingdom dan UAE, berikrar untuk bekerjasama dalam perancangan meningkatkan kapasiti nuklear menjelang 2050,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...