Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Indonesia dijangka terus berkembang

    JAKARTA, 24 JUN – Ekonomi Indonesia dijangka terus berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang di sebalik penggunaan domestik dan pelaburan walaupun eksport lemah, menurut laporan Bank Dunia, hari ini.

    Perbelanjaan isi rumah, secara tradisinya penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, serta perbelanjaan berkaitan pilihan raya membantu mengembangkan ekonomi terbesar di Asia Tenggara sebanyak 5.11 peratus pada suku pertama 2024.

    Ekonomi negara itu dijangka berkembang lima peratus secara keseluruhan tahun ini, diikuti oleh 5.1 peratus pada 2025 dan 2026, menurut laporan Prospek Ekonomi Indonesia Bank Dunia.

    Unjuran terkini itu merupakan peningkatan daripada anggaran Bank sebelumnya iaitu sebanyak 4.9 peratus tahun ini dan tahun depan, diikuti lima peratus pada 2026.

    “Ekonomi dijangka menerima manfaat daripada pemulihan dalam penggunaan awam dan pelaburan tetapi akan menghadapi masalah, terutamanya daripada persekitaran perdagangan yang semakin teruk,” menurut laporan itu.

    Laporan tersebut turut menyatakan beberapa risiko yang dihadapi ekonomi, termasuk kadar faedah yang tinggi dan kejutan geopolitik, yang boleh menambah beban kepada eksport yang sudah terjejas oleh harga yang lebih rendah.

    “Prospeknya stabil, namun risikonya cenderung ke arah penurunan,” kata ahli ekonomi kanan Bank Dunia, Wael Mansour, pada sidang akhbar.

    “Unjuran asas kami mengandaikan kesinambungan dasar, terutamanya yang berkaitan dengan rangsangan pelaburan,” tambahnya.

    Unjuran semasa mengandaikan sumbangan yang besar daripada penggunaan awam dengan perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat manakala pelaburan langsung asing sebagai bahagian KDNK diunjurkan akan kembali ke tahap sebelum pandemik, kata Mansour. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda