Tuesday, November 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksesais CARAT ke-30 labuh tirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Eksesais Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) ke-30 bagi 2024 di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS), berakhir dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Konsert Wira Seni, Bangunan Pancaragam ABDB, Bolkiah Garison, hari ini.

    Semasa majlis berkenaan, ucapan penutup telah disampaikan oleh Timbalan Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Kolonel Aldi bin Haji Hassan dan Pegawai Memerintah, Marine Rotational Force Southeast Asia, Kolonel Stuart W Glenn.

    Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland, bersama peserta eksesais dari kedua-dua buah negara.

    Dalam ucapan penutupnya, Kolonel Aldi menekankan kepentingan hubungan dua hala yang kukuh di antara Brunei dan AS serta peranan penting Eksesais CARAT dalam meningkatkan kestabilan dan keselamatan serantau melalui pengukuhan interoperabiliti dan kerjasama profesional.

    Beliau turut menegaskan kepentingan CARAT dalam matlamat strategik negara iaitu untuk memperkukuhkan kerjasama serantau serta menyumbang kepada keselamatan maritim, seperti yang terkandung di dalam Defence White Paper 2021 dan Wawasan Brunei 2035, di mana ia menyelaraskan objektif CARAT dengan matlamat strategik negara untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan menyumbang kepada keselamatan di rantau ini.

    Terdahulu dalam ucapannya, Kolonel Stuart W Glenn menekankan kepentingan eksesais tersebut sebagai platform untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan ilmu pengetahuan bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua angkatan tentera.

    Beliau turut menegaskan bahawa asas kerjasama itu terletak pada saling menghormati, persefahaman serta kepentingan bersama dengan matlamat utama untuk memupuk keamanan yang berpanjangan.

    Eksesais itu telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti, termasuk Program Pertukaran Pakar Subjek (SMEE), latihan operasi dan program hubungan komuniti di mana ia bertujuan untuk meningkatkan kerjasama, membina kemahiran profesional serta memperkukuhkan hubungan di antara peserta eksesais termasuk sumbangan kepada komuniti.

    Kejayaan eksesais itu mencerminkan dedikasi bersama ABDB dan TLAS ke arah meningkatkan keselamatan maritim dan juga kestabilan serantau.

    Kolonel Stuart W Glenn ketika menyampaikan cenderamata kepada Kolonel Aldi. – GAMBAR OLEH SIM Y. H
    GAMBAR OLEH SIM Y. H
    Kolonel Aldi semasa menyampaikan ucapan penutupnya di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H
    GAMBAR OLEH SIM Y. H

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda