Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ekspo Produk Tempatan bermula

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Lebih 200 buah syarikat tempatan menyertai Ekspo Produk Tempatan 2023 bersempena Festival Disember Brunei ke-7 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Dewan Bridex 1 dan 2, Jerudong.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran festival berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Festival anjuran oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei melalui Darussalam Enterprise (DARe).

    Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Bersama Ekspo Produk Tempatan 2023 dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa ekspo tersebut merupakan salah satu usaha pihak kerajaan mengetengahkan produk tempatan kepada pembeli.

    Selain itu, ia mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk yang dihasilkan dan perkhidmatan yang disediakan, memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha dan syarikat untuk menjana pendapatan dan peluang bagi mengadakan sesi rangkaian dan pemadanan perniagaan antara pembekal dan pemborong untuk mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan yang sedia ada.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai semasa pelancaran Festival Disember Brunei ke-7 kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Semasa ditemui, beberapa peserta ekspo dari syarikat-syarikat tempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang mengadakan ekspo tersebut.

    Ia merupakan satu platform untuk syarikat tempatan terutama syarikat baharu untuk memperkenalkan produk mereka di ibu negara dan luar negara.

    Menurut peserta dari Syarikat Kayu Manis Babu yang mempamerkan produk ayam pandan, mereka amat gembira dapat menyertai ekspo berkenaan, ini adalah peluang keemasan untuk meluaskan lagi pemasaran produk ayam pandan dan produk-produk lain seperti rempah ratus.

    Seterusnya, Awang Mohammad Reduan Ahmad dari ARD Shin pula berkata dengan ekspo itu, mereka dapat memperkenalkan lagi kuih mochi dan mantao pertama mereka di Negara Brunei Darussalam.

    “Kami berharap orang ramai akan dapat sama-sama memeriahkan ekspo dan menyokong produk tempatan,” ujar beliau sambil menyatakan harapan, orang ramai akan dapat memeriahkan Festival Disember Brunei dan berbelanja di negara sendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...