Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Salah satu fungsi Jabatan Pendidikan Khas ialah menyediakan pendidikan inklusif berkualiti bagi pelajar berkeperluan khas melalui program dan perkhidmatan yang menyokong kepada perkembangan akademik, sosial, emosi, dan kemahiran hidup pelajar agar mereka siap siaga masa depan dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Aktiviti melukis, mewarna, dan pembuatan kolaj memberi peluang kepada pelajar berkeperluan khas untuk meluahkan fikiran, perasaan dan emosi mereka dalam suasana yang positif dan seterusnya memupuk perkembangan sosial dan emosi pelajar.
Perkara berkenaan antara yang dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis, Mewarna dan Kolaj bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan Senegara Sempena Hari Kesedaran Sindrom Down Sedunia 2024 bertempat di Dewan Serbaguna Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49, hari ini.
Menurut beliau, aktiviti-aktiviti berkenaan juga membantu mengembangkan kemahiran hidup para pelajar melalui kemahiran motor halus, daya fokus, dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah, selaras dengan misi Kementerian Pendidikan untuk memberi pendidikan berkualiti dan holistik kepada pelajar bagi mencapai kehidupan yang bermatlamat.
“Selain itu, dengan menyepadukan aktiviti seni ke dalam pendidikan, kita juga memberi peluang kepada pelajar berkeperluan khas untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka,” ujarnya.
Menyentuh mengenai jumlah penyertaan, Dr Eddy mengongsikan pertandingan berkenaan telah berjaya menarik seramai 308 penyertaan dari 59 buah sekolah rendah kerajaan di seluruh negara. Sebanyak 89 penyertaan dalam kategori membuat kolaj bagi pelajar Tahun Pra dan Tahun 1; sebanyak 99 penyertaan dalam kategori mewarna bagi pelajar Tahun 2 dan Tahun 3; dan seramai 120 pelajar menyertai dalam kategori melukis dan mewarna bagi pelajar-pelajar rendah atas iaitu Tahun 4,5 dan 6.
Jelasnya lagi, jumlah penyertaan yang begitu menggalakkan menunjukkan advokasi dan solidariti yang amat signifikan dalam kalangan masyarakat Brunei khususnya warga sekolah, pelajar-pelajar serta para ibu bapa.
Terdahulu, Dr Eddy antaranya turut menjelaskan bentuk reben dalam logo Sindrom Down adalah simbol universal bagi kesedaran dan sokongan.
Bentuk itu mudah dikenali sebagai simbol advokasi dan solidariti bagi individu, keluarga, dan organisasi untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap kesedaran Sindrom Down.
“Reben kesedaran Sindrom Down juga melambangkan harapan, penyertaan, dan usaha kolektif untuk meningkatkan pemahaman, peluang, dan penerimaan bagi individu dengan Sindrom Down.
“Manakala warna biru, selalunya dikaitkan dengan ketenangan, kepercayaan, dan kestabilan. Ini boleh mewakili komuniti yang menyokong dan menyayangi individu dengan Sindrom Down.
Warna kuning pula dikaitkan dengan penuh harapan, tenaga, dan kebahagiaan. Ia mencerminkan semangat positif dan potensi individu dengan Sindrom Down serta pergerakan advokasi yang bertenaga,” jelas beliau.
Tambah Dr Eddy, selaras dengan motif bentuk reben yang dinyatakan itu, adapun objektif utama pertandingan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran warga sekolah, ibu bapa, pelajar, dan masyarakat mengenai dengan Sindrom Down.