NILAI, 20 Jun – Kesusahan dan kesukaran yang dialami jururawat, doktor dan pegawai perubatan dalam proses membersihkan luka pesakit yang cedera akibat patah kaki mendorong seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan alat sokongan, dikenali sebagai Elev8thor.
Ia bertujuan memudahkan kerja rawatan selain meringankan beban tugas jururawat dan pegawai perubatan apabila memerlukan tiga petugas untuk membersihkan luka serta melakukan rawatan simen ke atas pesakit.
Pensyarah kanan perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Dr Mohd Asha’ari Bain berkata sistem blok modular mudah alih yang diaplikasikan oleh Elev8thor membantu pihak pegawai kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan serta pengurusan luka setiap hari dengan lebih efisien.
Katanya blok-blok ini dicipta khas agar boleh bergerak dan dialih khusus untuk mengurangkan tekanan di kawasan luka dan mengelak ulser, sekali gus membantu mengurangkan komplikasi pada kecederaan di bahagian kaki selain memudahkan pegawai kesihatan dalam aspek pengurusan luka serta memberi keselesaan kepada pesakit.
“Selain itu, Elev8thor ini juga boleh digunakan dalam beberapa prosedur rawatan ortopedik seperti prosedur ‘balance traction’ untuk rawatan tulang retak di bahagian kaki, prosedur x-ray, proses pembalutan simen, prosedur ‘interlocking tibia’ untuk kecederaan di bahagian tulang tibia serta rawatan yang menggunakan ‘split skin graph’,” kata Dr Mohd Asha’ari, yang juga pakar bedah ortopedik kepada Bernama di sini.
Elev8thor yang dibuat menggunakan busa keras dan lembut serta dibalut dengan kain kulit dibangunkan dengan kos RM250 selain mudah dialih atau dibasuh.
“Bagaimanapun, setakat ini hanya di Malaysia sahaja yang mempunyai alat bantuan seperti ini dan jika ia dipasarkan mungkin nilainya mencecah RM600 hingga RM700. Elev8thor ini dijangka memiliki ketahanan sehingga lima tahun dan ke atas.
“Selain itu, alat ini mampu mempercepatkan lagi kerja penyucian luka pesakit dan mampu mengurangkan sekurang-kurangnya 15 ke 20 minit kerja-kerja kejururawatan berbanding secara tradisional yang memerlukan tiga atau lebih petugas untuk membantu proses mencuci luka bagi kes patah kaki,” katanya.
Dr Mohd Asha’ari berkata produk yang dibangunkan itu turut memenangi pingat emas di Ekspo Inovasi Islam kali kelapan (8th i-Inova 2018) di sini baru-baru ini dan dalam proses dipatenkan. – Bernama