HONG KONG, 29 APRIL – Empat bekas ahli parlimen Hong Kong – Claudia Mo, Jeremy Tam, Kwok Ka-ki dan Gary Fan dibebaskan dari penjara hari ini, selepas menjalani hukuman lebih empat tahun atas kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara yang dikenakan oleh Beijing. Mereka adalah antara 47 aktivis pro-demokrasi yang ditangkap pada 2021 kerana terlibat dalam pilihan raya awal tidak rasmi pada 2020.
Pembebasan mereka dilakukan di tiga penjara kawasan pedalaman Hong Kong dengan kawalan keselamatan ketat. Hanya kenderaan terlibat dilihat meninggalkan premis dengan langsir ditutup rapat.
Suami Claudia Mo, wartawan veteran Philip Bowring, berkata beliau gembira isterinya pulang dan dalam keadaan baik, namun tidak akan memberi sebarang wawancara buat masa ini.
“Dia perlu menyesuaikan diri semula dengan kehidupan di luar,” katanya, sambil menambah mereka mungkin akan melawat cucu di England.
Dalam satu video HK01, Gary Fan berterima kasih kepada rakyat Hong Kong dan media atas sokongan dan berkata beliau akan kembali bersama keluarga.
Pilihan raya awal tidak rasmi itu melibatkan 610,000 pengundi dan para pemenang dijangka bertanding dalam pilihan raya rasmi dewan perundangan, namun ia ditangguhkan atas alasan risiko kesihatan awam semasa pandemik COVID-19.
Pendakwa berkata para aktivis berniat melumpuhkan kerajaan Hong Kong dan memaksa pemimpin meletak jawatan dengan meraih majoriti dalam dewan dan menyekat bajet kerajaan. Mahkamah memutuskan bahawa tindakan ini boleh mencetuskan krisis perlembagaan.
Hanya dua daripada 47 tertuduh dibebaskan, manakala yang lain dijatuhkan hukuman penjara antara empat tahun dua bulan hingga 10 tahun atas tuduhan konspirasi untuk menjatuhkan kuasa kerajaan. Mo, Tam, Kwok dan Fan mengaku bersalah dan menerima hukuman lebih ringan.
Empat belas aktivis telah mengemukakan rayuan, dan pendakwa turut merayu terhadap satu kes pembebasan. Semua rayuan masih menunggu keputusan. – AP
