Wednesday, November 27, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam anggota pengaman PBB dari Malaysia cedera

    KUALA LUMPUR, 8 NOV – Malaysia hari ini menyatakan bahawa enam orang anggota pengaman yang berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah cedera dalam satu letupan di Lubnan.

    Kementerian Pertahanan berkata dalam satu kenyataan sejurus selepas tengah malam bahawa letupan tersebut berlaku kelmarin berhampiran Stadium Saida, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca letupan tersebut.

    PBB menyatakan bahawa lima anggota pengaman Malaysia termasuk dalam mereka yang cedera dalam serangan udara Israel di Selatan Lubnan kelmarin, dalam satu serangan yang turut mengorbankan tiga orang awam.

    Israel melancarkan serangan selepas kumpulan Hizbullah dari Lubnan mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan sebuah pangkalan tentera berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Israel pada Rabu.

    Kementerian Pertahanan Malaysia menyatakan bahawa letupan tersebut telah “menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang menuju ke Beirut tetapi turut menyebabkan kerosakan pada bas yang membawa anggota pengaman PBB Malaysia,” mencederakan enam daripada mereka.

    Kementerian itu menyifatkan kecederaan tersebut sebagai ‘ringan’, termasuk seorang anggota pengaman yang mengalami patah di lengan kiri dan dibawa ke hospital.

    Angkatan Tentera Malaysia “akan terus memantau situasi ini dengan teliti dan akan menyediakan maklumat terkini mengenai kejadian ini apabila tersedia,” menurut kenyataan itu.

    Angkatan tentera “tetap komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan anggota ketika menjalankan misi pengaman di bawah panji PBB,” tambahnya.

    Hizbullah dan Israel telah berperang sejak akhir September, apabila Israel memperluaskan fokus daripada memerangi Hamas di Semenanjung Gaza kepada usaha untuk mengamankan sempadan utaranya. – AFP

    Anggota Angkatan Tentera Malaysia yang memakai beret biru memberikan tabik hormat semasa upacara pelepasan kumpulan pertama Batalion Malaysia 850-12 untuk Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Pangkalan Tentera Udara Subang, berhampiran Kuala Lumpur pada 6 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda