TAIPEI, 1 OKT – Anggota menyelamat bergegas hari ini untuk menyelamatkan enam orang yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah jambatan roboh di Taiwan, menghempap sekumpulan bot nelayan yang berlabuh di bawahnya.
Rakaman dramatik CCTV merakamkan saat jambatan sepanjang 140 meter itu roboh terhempas ke bawah di Nanfangao, di pantai timur Taiwan.
Dalam gambar itu, jalan raya runtuh dan menghempap ke atas sekurang-kurangnya tiga bot nelayan tatkala sebuah kapal tangki petrol yang sedang menyeberangi juga terjunam ke dalam air. Agensi Bomba Negara berkata ia percaya enam orang masih hilang dan mungkin terperangkap dalam bot di bawah struktur yang roboh.
Operasi menyelamat sedang diteruskan,” kata agensi dalam satu kenyataan, menambah sekurang-kurangnya 12 orang cedera, termasuk enam warga Filipina dan tiga pekerja nelayan serta pemandu lori tangki petrol warga Taiwan dan dua anggota pengawal pantai.
“Kami berharap dapat menyelamat kesemua mereka dalam masa paling singkat untuk meminimumkan kerosakan,” beritahu Presiden Taiwan Tsai Ing-wen kepada wartawan.
Lori tangki petrol itu terbakar sejurus selepas ia terkena air, menghantar kepulan asap hitam naik ke udara.
Masih tidak jelas punca jambatan, yang dibina pada 1998 dan merentangi pelabuhan nelayan kecil, itu roboh.
Pendakwa telah melancarkan siasatan mencari punca nahas, kata menteri pengangkutan Lin Chia-lung, menambah jambatan masih dalam tempoh jangka hayat 50 tahunnya.
Ketua Jabatan Bomba Yilan, Hsu Son-yi berkata para penyelamat berdepan kesukaran memeriksa dua lagi kapal di bawah air akibat penglihatan tidak jelas. – AFP
