Pelakon Indonesia Endy Arfian meluahkan rasa kesal kerana tidak berpeluang merasai pengalaman bersekolah secara formal sepanjang hidupnya.
Menurut Andy, 23, ketiadaan peluang untuk bersekolah telah menghalangnya daripada melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan dan bersosial dengan orang lain.
“Saya homeschooling sejak kecil. Jadi, tidak ada ekstra kurikulum seperti di sekolah kebangsaan atau swasta.
“Ia juga menyebabkan saya tidak tahu bermain bola sepak dan bola keranjang.
“Saya tidak pernah merasakan persekitaran sekolah. Jadi, saya hanya boleh bergaul dengan rakan-rakan dari industri sahaja,” katanya memetik laporan mStar.
Dalam pada itu, pelakon filem Pengabdi Setan itu turut memberitahu bahawa dia tidak memiliki kenangan zaman persekolahan.
Pun begitu, Endy tetap menunjukkan sikap positif dan terus mencipta kejayaan sebagai salah seorang pelakon muda yang disegani dalam industri seni.
“Saya minta maaf kerana saya sebenarnya tidak menghabiskan masa di sekolah menengah. Saya tiada kenangan di sekolah.
“Tapi, saya bersyukur kerana pada masa ini saya boleh jadi produktif. Dapat menghiburkan ramai orang,” ujarnya. – Agensi