TOKYO, 26 Nov – Sebuah enjin yang sedang dibangunkan untuk digunakan roket kecil Epsilon S terbakar pada Selasa semasa ujian pembakaran di sebuah kemudahan di barat daya Jepun, menurut Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).
Kejadian di Pusat Angkasa Tanegashima di Wilayah Kagoshima berlaku sejurus selepas ujian darat bagi enjin peringkat kedua bermula pada 8.30 pagi.
Menurut agensi berkenaan, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan JAXA sedang menyiasat punca kegagalan itu.
Api mula kelihatan sebelum bunyi letupan kedengaran kira-kira seminit kemudian, disusuli asap putih yang menyelubungi kawasan itu.
Kebakaran itu susulan insiden lain pada Julai 2023 apabila enjin yang sama meletup semasa ujian di Pusat Ujian Noshiro di timur laut Jepun, lapor Kyodo News.
Dalam ujian yang gagal pada Julai tahun lepas, sekeping logam pada bahagian pencucuhan telah cair dan merosakkan penebat haba yang menutupi enjin, membolehkan bahan api terbakar dan menyebabkan letupan.
JAXA telah menambah penebat haba pada bahagian pencucuhan bagi menangani isu berkenaan sebelum ujian terkini dijalankan.
JAXA sedang membangunkan Epsilon S sebagai pengganti kepada siri Epsilon sedia ada untuk meningkatkan daya saing Jepun dalam pasaran pelancaran satelit yang semakin berkembang, namun kegagalan berterusan itu berpotensi melambatkan kemajuan projek berkenaan. – BERNAMA-KYODO