Memiliki pandangan tersendiri mengenai syarat dikenakan ke atas syarikat produksi yang dibenarkan menyambung kerja penggambaran termasuk pelakon dan kru diwajibkan melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, sutradara, Erma Fatima tampil dengan idea yang difikirkan boleh membantu petugas dan karyawan meneruskan kerja seni dalam era pandemik.
Erma berkata, kaedah mengumpulkan artis dan kru yang terbabit dalam projek produksi di sebuah tempat mungkin boleh dilaksanakan bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan COVID-19 dalam sektor kreatif.
“Apa yang boleh dilakukan mungkin mengumpulkan artis dan kru di sebuah tempat seperti pusat kuarantin sehinggalah penggambaran berakhir.
“Sepanjang ‘shooting’, mereka dilarang pulang ke rumah atau pergi ke tempat lain… Ini bagi melindungi dan mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja seni,” katanya kepada media.
Sebaik pengumuman mengenai kebenaran meneruskan kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuat, syarikat produksi terutama yang mempunyai produk tertangguh atau siap ‘separuh jalan’ menyambut baik keputusan itu selepas lama menanti.

Bagaimanapun, peraturan yang mewajibkan semua pekerja termasuk artis dan kru melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat untuk kembali ke lokasi dilihat menyukarkan.
Syarikat produksi menganggap syarat itu kurang praktikal kerana masih ramai penggerak industri gagal mendapat slot janji temu suntikan vaksin COVID-19 atau jika ada pun, hanya mendapatkan dos pertama.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, syarat mewajibkan artis, petugas dan kru produksi mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 sebelum memulakan kerja penggambaran di luar studio, kekal.
Erma yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni menganggap syarat dikenakan ke atas syarikat produksi yang mahu menyambung kerja penggambaran menyusahkan dan boleh melumpuhkan industri kreatif, apatah lagi penggiat seni sudah lebih dua bulan tidak bekerja.
Erma menambah, kebenaran diberi kepada syarikat produksi untuk menyambung kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua PPN diibarat ‘melepaskan batuk di tangga’.
Erma turut mempersoalkan syarat penjarakan lokasi penggambaran dengan kawasan penempatan yang disifatkan tidak masuk akal.
“Di mana kami mahu ‘shooting’? Takkan nak buat cerita dalam hutan? Jangan samakan komuniti seni dengan kilang. Mereka faham atau tidak mengenai industri seni, macam mana cara kami bekerja?
“Takkanlah kami hendak hambat orang awam yang datang ke set untuk melihat kami bekerja?
“Kita bukan seperti Hollywood, kita tidak ada studio dan tidak semua produksi mampu melakukan penggambaran dalam studio. Bagi saya garis panduan itu hanya akan melumpuhkan industri,” katanya. Mengenai syarat vaksin COVID-19, Erma berpendapat, vaksin tidak boleh diberi secara paksaan kerana setiap individu mempunyai hak untuk memilih.
“Apa yang lebih penting adalah mewajibkan ujian calitan kepada syarikat produksi sebelum memulakan penggambaran,” katanya.
Sementara itu, Erma bakal muncul dengan drama terbaharu arahannya, Lockdown di Astro Ria.
Drama itu menampilkan nama besar seperti Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Jalil Hamid, Liza Abdullah dan Amerul Affendi. – Agensi