ADDIS ABABA, 7 NOV – Ethiopian Airlines telah menerima pesawat Airbus A350-1000 pertamanya, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di Afrika yang mengendalikan model terbesar dalam rangkaian A350. Pesawat penumpang tersebut, yang dinamakan Ethiopia: Land of Origins, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole di Addis Ababa, ibu negara Etiopia kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ethiopian Airlines, Mesfin Tasew, dalam majlis perasmian berkata bahawa dengan penambahan A350-1000 ini, Ethiopian Airlines bersedia untuk memperluaskan capaian globalnya, menghubungkan lebih banyak destinasi di lima benua.
“A350-1000 adalah yang pertama daripada empat pesawat yang akan kami terima dalam beberapa bulan akan datang. Pertambahan pesawat A350-1000 ke dalam armada kami melambangkan hasrat kami untuk terus memimpin sektor penerbangan di Afrika dan bersaing dengan cekap dalam industri penerbangan global,” kata Tasew.
Model A350-1000 itu dilengkapi 395 tempat duduk penumpang di kelas perniagaan dan ekonomi, menjadikannya pesawat terbesar dalam armada Ethiopian Airlines.
“Pesawat A350-1000 dibina dengan aerodinamik terkini, badan pesawat daripada serat karbon dan teknologi paling cekap dari segi bahan bakar, mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 25 peratus berbanding pesawat generasi sebelumnya,” tambah Tasew.
Hadi Akoum, wakil Airbus, menyatakan bahawa pesawat A350-1000 itu adalah yang pertama seumpamanya yang dikendalikan oleh operator berpusat di Afrika dan membolehkan Ethiopian Airlines meningkatkan perkhidmatan premium dan mengurangkan kos operasi.
“Dengan teknologi canggihnya, A350-1000 lebih mesra alam dan menawarkan kelas perniagaan terbesar, mengurangkan kos operasi per tempat duduk,” kata Akoum. – Xinhua